Lelaki didenda RM3,500 pukul bekas isteri dengan topi keledar

Iklan
Mahkamah Majistret Johor Bahru denda seorang lelaki RM3,500 kerana memukul bekas isterinya dengan topi keledar manakala seorang petani dipenjara empat bulan kerana mencederakan dan mengugut isterinya - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya menggunakan topi keledar, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohammad Firdaus Osman, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 34 tahun itu menggunakan alat yang boleh mendatangkan kematian, iaitu topi keledar.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kampung Sentosa, Pasir Gudang, kira-kira jam 5.30 petang, 31 Ogos lalu.

Iklan

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul kepala dan tengkuk mangsa menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan kecederaan di kedua-dua bahagian badan itu.

Atas perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Nurul Hidayah Mohammad Asri merayu hukuman denda ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga orang anak, dua daripadanya berada di bawah jagaannya.

Nurul Hidayah turut memaklumkan tertuduh bekerja memasang khemah kanopi untuk majlis kenduri kahwin mengaku bersalah serta memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang petani, K Raju, 50, dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya pada Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram, kira-kira jam 2.40 pagi, 6 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Raju turut dihukum penjara empat bulan bagi satu lagi pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian terhadap isterinya berusia 45 tahun di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam YBGK, Siti Nabilah Hamzah memaklumkan bahawa tertuduh bergaji RM1,400 sebulan, menanggung ibu bapanya serta mempunyai tiga anak.

Tambahnya, ini merupakan kesalahan pertama tertuduh yang direman sejak 6 Ogos lalu. Dia menyesal serta memohon maaf atas perbuatannya.