KOTA KINABALU - Dua termasuk remaja maut dalam kemalangan melibatkan pacuan empat roda di Jalan Signal Hill Park berhampiran Dewan Hakka di sini pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, remaja berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi lelaki berusia 33 tahun dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan yang terbabas sendiri.
"Siasatan awal mendapati, kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah sebuah kawasan kediaman menuju ke Likas dan dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh sebelum terbabas.
"Kenderaan tersebut kemudian telah melanggar pokok dan seterusnya masuk ke dalam parit.
"Akibat kejadian itu, dua penumpang disahkan telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, beberapa individu lain termasuk pemandu mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I dan II.
"Pihak polis juga telah menjalankan siasatan di lokasi termasuk pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat dan dokumentasi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.