MELAKA - Lima sekeluarga termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), trauma selepas menjadi mangsa samun oleh lima lelaki bersenjata parang dan kayu di sebuah rumah di Kampung Air Resam, Durian Tunggal, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kesemua mangsa dipercayai diikat menggunakan pita pelekat sebelum suspek melarikan pelbagai barang kemas, wang tunai kira-kira RM2,000, selain dua telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri dengan anggaran kerugian sekitar RM130,000.
Mangsa yang berada di dalam rumah ketika kejadian ialah sepasang suami isteri bersama seorang anak, ibu berusia 73 tahun serta adik mangsa yang merupakan OKU fizikal.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku ketika seorang daripada mangsa berada di bahagian belakang rumah untuk membungkus susu segar sebelum didatangi lima lelaki tidak dikenali yang meluru masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
“Suspek yang memakai baju hitam berhud serta penutup muka bertindak mengacukan parang dan kayu sebelum mengikat mangsa serta menggeledah rumah berkenaan bagi mencari barang kemas.
“Sebahagian mangsa turut dipukul dan dua mangsa mengalami kecederaan sebelum dibawa mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang rumah selepas menyedari kehadiran seorang penunggang motosikal yang datang ke hadapan rumah mangsa untuk mengambil bekalan susu.
Katanya, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, namun polis telah menemui tujuh cap jari di tempat kejadian untuk dihantar ke Pusat Pengenalan Forensik (PIFOS) bagi tindakan lanjut.
“Unit Anjing Pengesan (K9) turut membawa kepada penemuan dua telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa di laluan suspek melarikan diri.
“Kes disiasat sebagai samun berkumpulan bersenjata dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.