KOTA BHARU - Terpaksa bekerja antara faktor pelajar di Kelantan tercicir dalam pelajaran selain daripada pengaruh rakan dan masalah kesihatan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya tidak menolak faktor kemiskinan menjadi punca utama sehingga memaksa mereka bekerja dan mengabaikan persekolahan.
Namun menurut beliau, terdapat 16 jenis bantuan khusus dan umum yang disediakan untuk pelajar.
"Jika pihak sekolah mempunyai data, mereka boleh mengusulkan agar pelajar terbabit dipertimbangkan untuk menerima bantuan.
"Bagaimanapun keciciran di negeri ini tidak berada pada tahap kronik. Berdasarkan rekod pada 2024, seramai 652 pelajar tercicir di Kelantan, manakala setakat Oktober tahun ini hanya 327 pelajar.
“Data ini menunjukkan usaha intervensi yang dilaksanakan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) bersama PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), pengetua dan guru besar memberi kesan positif dalam mengurangkan keciciran," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu, beliau merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di Grand River View di sini.
Menurut beliau, di peringkat Kementerian Pendidikan pihaknya turut memberi panduan kepada JPN bagi mengambil langkah sewajarnya untuk memperkukuhkan kehadiran murid ke sekolah semula.
Mohd Azam memaklumkan, antara daerah yang mencatatkan kes keciciran tertinggi pada tahun ini ialah Kota Bharu dengan 76 pelajar, manakala Gua Musang sebanyak 62 pelajar.
“Tidak kira sama ada jumlah itu besar atau kecil, kita akan beri perhatian kerana matlamat utama adalah untuk memastikan pelajar kekal berada di sekolah.
“Kita bukan sahaja mahu meningkatkan pencapaian akademik mereka, malah memastikan kesejahteraan mental, psikologi dan emosi turut terjamin,” katanya.