WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan China seharusnya mengiktiraf peranan penting Washington dalam kekalahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua semasa perarakan ketenteraan besar-besaran di Beijing pada 3 September.
Trump, yang memuji acara itu sebagai “sangat indah dan mengagumkan” berkata, Amerika Syarikat telah banyak membantu China dalam peperangan menentang Jepun, justeru wajar disebut dalam ucapan Presiden Xi Jinping.
“Presiden Xi adalah sahabat saya. Tetapi saya fikir Amerika Syarikat sepatutnya disebut kerana kami membantu China dengan sangat besar,” kata beliau kepada wartawan di Rumah Putih.
Xi menggunakan ulang tahun ke-80 berakhirnya perang itu untuk menampilkan kekuatan ketenteraan China serta memperkukuh hubungannya dengan negara yang sering berdepan pertikaian dengan Washington, termasuk Rusia dan Korea Utara.
Di hadapan lebih 50,000 penonton di Dataran Tiananmen, Xi ditemani Presiden Rusia, Vladimir Putin, dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. Beliau memeriksa barisan tentera dan aset ketenteraan moden yang menurut penganalisis jelas ditujukan untuk mengingatkan kuasa-kuasa lawan, termasuk Amerika Syarikat.
Jepun menyerang China pada 1937 sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, manakala Amerika Syarikat mula terlibat pada 1941. Tentera AS bukan sahaja membantu pasukan China menentang Jepun, malah memainkan peranan penting dalam kekalahan Tokyo pada 1945.
Xi dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada “kerajaan asing dan sahabat antarabangsa yang menyokong rakyat China”, namun tidak menyebut khusus tentang Amerika Syarikat.
Ketiadaan pengiktirafan itu berlaku ketika hubungan dua kuasa besar semakin tegang berhubung isu keselamatan, termasuk konflik di Ukraine, Laut China Selatan dan pertikaian perdagangan.
Trump sebelum ini mendakwa hubungan peribadinya dengan Xi mampu meredakan ketegangan tersebut. Malah beliau memberi bayangan bakal bertemu dengan Xi dalam masa terdekat.
Dalam hantaran di platform Truth Social ketika perarakan berlangsung, Trump secara sinis menulis agar Xi menyampaikan salamnya kepada Putin dan Kim Jong Un “ketika bersekongkol menentang Amerika Syarikat”.
Kremlin bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menyifatkan kenyataan Trump sebagai sindiran politik.-Agensi