SEREMBAN - Lima lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan berkaitan penyelewengan diesel bersubsidi tanpa kebenaran sah, melibatkan jumlah keseluruhan lebih 20,000 liter.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Bagi pertuduhan pertama, dua individu iaitu S Rajakumar, 34, dan V Maran, 23, didakwa bersama-sama memiliki 955 liter minyak diesel dalam tangki simpanan pukal (IBC) di sebuah premis di Lot 38099, mukim Labu, pada jam 4.30 petang, 20 Februari 2024.
Bagi pertuduhan kedua, Rajakumar sekali lagi bersama seorang lagi lelaki, E Kunaal, 23, didakwa memiliki sebanyak 15,871 liter diesel dalam sebuah lori tangki dan treler.
Bagi pertuduhan ketiga pula, R Poobalan, 43, dan S Kalithas, 30, didakwa bersama-sama memiliki 3,424 liter minyak diesel.
Ketiga-tiga kesalahan tersebut didakwa dilakukan di lokasi dan waktu yang sama.
Kesemua tindakan itu dilakukan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah bahawa mereka berurusan secara tidak sah dengan barang kawalan iaitu minyak diesel bersubsidi tanpa lesen sah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan minyak diesel secara runcit tanpa lesen sah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Irwan Shah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat KPDN setiap bulan.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar kadar itu dikurangkan kerana mempunyai tanggungan anak masih kecil, selain ada antara mereka yang bujang menanggung ibu bapa serta adik-beradik yang masih bersekolah.
Rajakumar yang berdepan dua pertuduhan, dikenakan jaminan RM10,000, manakala empat yang lain dikenakan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan.
Kesemua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN, selain tidak dibenarkan mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 November depan bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam.