KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang pempengaruh media sosial melakukan penggambaran dengan menunda sebuah platform terapung yang membawa sebuah kereta membawa padah apabila dua bot digunakan dalam aktiviti itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu, petang Rabu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 6 petang kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong.
Menurutnya, bot berkenaan dikesan melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) menerusi operasi penguatkuasaan Operasi Iman dijalankan agensi terbabit.
"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta diatasnya manakala sebuah lagi bot yang mengiringi aktiviti penundaan tersebut didapati beroperasi tanpa mempunyai lesen sah oleh Jabatan Laut," katanya di sini pada Khamis.
Beliau berkata, platform terapung tersebut dibina tanpa peralatan keselamatan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan apabila dijadikan lokasi penggambaran bersama kenderaan yang diletakkan di atas platform berkenaan.
"Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna lain,"katanya.
Menurut Hamiludin, kesemua warga tempatan terdiri daripada enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang itu ditahan bagi tindakan lanjut.
"Kedua-dua bot terbabit didapati membawa seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang masing-masing berusia antara 21 hingga 32 tahun.
"Bot, kru serta penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi hari ini (Khamis) untuk siasatan.
“Kes ini disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu beliau menegaskan, Maritim Malaysia sentiasa serius dalam memastikan keselamatan perairan negara khususnya di Terengganu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.
"Maritim Malaysia menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia mestilah dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu supaya segera menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357," katanya.
Rabu lalu, tular video berdurasi 3 minit 20 saat di media sosial memaparkan bascule jambatan angkat dibuka bagi memberi laluan kepada bot dan platform terapung bersama kereta itu melepasi kawasan tersebut.