Zara Qairina tidak mungkin terjatuh sendiri secara sengaja atau ditolak – Pakar Patologi

Iklan
Allahyarham Zara Qairina

KOTA KINABALU - Kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolahnya.

Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu berkata, hasil pemeriksaan lokasi serta bedah siasat mendapati faktor ketinggian pagar konkrit dan palang besi tidak memungkinkan arwah jatuh dengan cara sedemikian.

Iklan
Iklan

“Ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas yang dipasang pada pagar konkrit tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm), manakala saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.

“Perbezaan antara ketinggian si mati dan palang besi atas ialah 36 cm, yang mana ketinggian palang melebihi tiga perempat daripada tinggi si mati dan berada di atas pusat graviti badannya,” katanya.

Iklan

Beliau yang berkhidmat sebagai pakar patologi forensik sejak 1998 berkata demikian ketika membacakan keterangan bertulis pada inkues kematian arwah Zara Qairina di Mahkamah Koroner di sini, petang Rabu.

Dr Jessie berpandangan, tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak ketika berdiri di tepi pagar konkrit berdasarkan ukuran tersebut.

Iklan

Menurut beliau, berdasarkan ketinggian pagar dan lebar pagar, palang besi serta fizikal mangsa, adalah mungkin Zara Qairina memanjat pagar, melintasi palang besi sebelum berada di atas struktur itu.

“Saya telah menyediakan laporan pemeriksaan lokasi bersama laporan pemeriksaan bedah siasat,” ujarnya.

Katanya, laporan lengkap bedah siasat dan pemeriksaan lokasi sudah disediakan selepas beliau meneliti rekod perubatan, termasuk hasil X-ray, imbasan CT (tomografi berkomputer) serta imbasan CTA (tomografi angiogram berkomputer).

Tambah Dr Jessie, pemeriksaan lokasi dilakukan pada 2 Ogos lalu di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratu A’yun, SMKA Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut.

Setakat ini, beliau mengendalikan antara 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun serta pernah menjadi saksi pakar antara 10 hingga 15 kali setahun di pelbagai mahkamah di Sabah dan Labuan.

Inkues kematian Zara Qairina bermula Rabu dan Khamis sebelum bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September depan.