MB Negeri Sembilan terkejut dakwaan halang ceramah Ustaz Wadi Annuar

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung isu ceramah Ustaz Wadi yang dibatalkan. Foto kecil: Aminuddin

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa beliau mahupun kerajaan negeri tidak terlibat dalam isu pembatalan ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang dijadualkan berlangsung di Masjid Sri Sendayan pada Sabtu ini.

Menurut Aminuddin, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai program Healing De’ Masjid tersebut kerana ia bukan di bawah anjuran kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

“Saya memang tidak terlibat dan tidak dimaklumkan langsung mengenai ceramah itu.

“Apabila saya baca mengenai pembatalan ceramah tersebut, saya sendiri pun terperanjat. Saya harap mereka yang rasa teraniaya perlu beri penjelasan, jangan sampai menimbulkan fitnah kepada pihak lain, khususnya kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu tular berhubung pembatalan ceramah berkenaan.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin turut menyatakan kekesalannya terhadap dakwaan yang seolah-olah menggambarkan beliau sebagai pihak yang menghalang program tersebut.

Iklan

“Saya tidak tahu pun ada ceramah di Masjid Sendayan, saya pun tidak tahu siapa penceramahnya. Tiba-tiba keluar kenyataan seolah-olah saya yang tidak benarkan.

“Orang akan tanya, kenapa saya terasa? Tapi apabila orang tulis macam itu, takkan saya tak terasa. Ucapan itu pun tak jelas. Kita ini sebagai orang beragama, bila berkata-kata biarlah jelas,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar tidak menjadikan sesuatu kenyataan sebagai fitnah yang boleh menjejaskan nama baik orang lain.

“Janganlah timbulkan fitnah yang boleh mendatangkan persepsi buruk kepada pihak lain. Hukum fitnah ini sangat besar. Saya boleh maafkan, tiada masalah. Tapi jika ia terus berlaku, ia boleh rosakkan hubungan baik dan silaturahim,” tegasnya.

Tambah Aminuddin, beliau tiada masalah dengan mana-mana program keagamaan, malah pernah menghadiri ceramah Ustaz Wadi sebelum ini tanpa jemputan rasmi.

“Sebelum ini pun saya pernah hadir ke ceramah Ustaz Wadi di Masjid Sikamat. Saya solat berjemaah, dengar ceramah sampai habis, malah makan bersama.

“Kalau nak buat program, buatlah. Kami di kerajaan negeri sangat mengalu-alukan majlis ilmu. Tapi janganlah ia mendatangkan kesan buruk kepada pihak lain,” ujarnya.

Tambahnya, perkara tersebut berlaku mungkin disebabkan kegagalan mengurus maklumat dengan baik yang akhirnya mencetuskan fitnah dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker meluahkan rasa kesal dan terkejut berikutan program ceramah itu dibatalkan yang didakwa berpunca daripada kegagalan mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menurutnya, menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Ustaz Wadi memaklumkan bahawa segala persiapan telah dibuat dengan rapi, selain turut mendakwa sudah menerima surat tauliah untuk menyampaikan ceramah.