SHAH ALAM – Kapal membawa Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza berdepan detik mencemaskan apabila dilanda ribut kencang di tengah lautan hingga menyebabkan bekalan elektrik untuk mengecas telefon bimbit terjejas akibat litar pintas, selain beberapa barangan terpelanting.
Antara sukarelawan yang turut serta, pendakwah terkenal Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan, berkongsi keadaan terkini dan mengakui mereka berdepan cabaran besar apabila berlaku kerosakan pada sistem pengecasan peralatan komunikasi.
“Alhamdulillah, kami berlayar dengan baik. Kapal berfungsi dengan sempurna cuma malam tadi berlaku ribut yang kencang maka ada bantuan dan beberapa barangan kecil kami terpelanting.
"Yang mendukacitakan adalah kami mungkin tidak dapat cas telefon bimbit kerana berlaku litar pintas di kawasan yang untuk mengecas ataupun untuk kami dapatkan bekalan elektrik," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana elektrik untuk operasi kapal masih berfungsi, namun komunikasi dengan dunia luar agak terhad disebabkan cuaca buruk itu.
Menurutnya, keadaan itu turut menjejaskan tugas wartawan yang bersama misi kerana tidak dapat mengemas kini perkembangan terkini.
“Kawan-kawan saya, wartawan pun tidak dapat caj telefon dan powerbank terhad. Jadi, doakan kami selamat. Insya-ALLAH, tidak lama lagi ataupun beberapa hari lagi kami akan berlabuh di pelabuhan seterusnya.
"Pelabuhan itu rahsia tetapi setelah sampai ke pelabuhan itu ataupun bekalan elektrik dapat dipulihkan untuk caj telefon, maka kami maklumkan semua perkembangan terkini," ujarnya lagi.
Misi GSF itu berlepas dari Pelabuhan Barcelona pada 1 September lalu dengan membawa sukarelawan antarabangsa termasuk dari Malaysia serta bekalan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza.
Acara pelepasan disaksikan ratusan aktivis yang memberi sokongan penuh kepada misi maritim terbesar ke Gaza itu dianjurkan oleh empat gabungan utama iaitu Gerakan Global ke Gaza, Freedom Flotilla Coalition, Maghreb Sumud Flotilla dan Sumud Nusantara.
Sekretariat Sumud Nusantara dalam kenyataan memaklumkan delegasi Malaysia diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Salam Malaysia bersama NGO lain, dengan misi menuntut pembukaan laluan bantuan serta penghentian segera serangan ke atas Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Malaysia yang juga Chef de Mission Malaysia, Datuk Sani Araby berkata, penyertaan Malaysia menzahirkan sokongan jelas terhadap perjuangan kemanusiaan untuk Palestin.
Pada Isnin lalu, sebanyak 24 kapal flotila dengan lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol menuju Gaza bagi membawa mesej solidariti serta bantuan asas kepada rakyat Palestin.