Perhimpunan GARAH: Satu pihak akur, satu lagi masih mahu teruskan - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution. Foto Bernama

ALOR SETAR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengulangi gesaan agar pihak berkaitan tidak meneruskan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu kota atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam sempena lawatan rasmi Presiden India ke Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan pertemuan dengan penganjur perhimpunan berkenaan membabitkan aspek keselamatan serta adab dan tertib kepada tetamu negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pertemuan tersebut mendapati satu pihak bersetuju untuk tidak meneruskan perhimpunan, namun satu pihak lagi masih menyatakan hasrat untuk meneruskannya.

“Masih ada pihak yang melalui kenyataan menyatakan niat untuk teruskan. Saya mengambil peluang ini sekali lagi untuk meminta supaya ia tidak diteruskan,” katanya selepas selepas melawat tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Jalan Langgar di sini pada Sabtu.

Iklan

Saifuddin menjelaskan, gesaan pembatalan dibuat berdasarkan dua pertimbangan utama iaitu kepentingan negara sempena lawatan rasmi Presiden India serta faktor keselamatan awam.

Menurutnya, India merupakan rakan strategik Malaysia khususnya dalam sektor perdagangan dan antara pembeli utama minyak sawit negara, selain kedua-dua negara dijadual mengadakan pertemuan dua hala sepanjang lawatan berkenaan.

Iklan

“Apabila negara menerima tetamu penting, sebaik-baiknya keadaan dalam negara berada dalam suasana yang tenang. PDRM bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan sentiasa terjamin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa di bawah Akta Perhimpunan Aman, isu permit tidak lagi timbul namun tindakan masih boleh diambil sekiranya perhimpunan berkenaan berpotensi menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Terdahulu media melaporkan, polis tidak membenarkan Perhimpunan GARAH yang dijadual berlangsung di ibu kota malam ini diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu mengenai rancangan mengadakan perhimpunan aman pada jam 8 malam di lokasi itu.

Bagaimanapun, penceramah bebas, Zamri Vinoth dilaporkan tetap menyatakan hasrat untuk meneruskan perhimpunan tersebut walaupun terdapat gesaan daripada kerajaan dan pihak polis supaya ia dibatalkan.