TVET, BOTB Orang Asli jadi tumpuan Kamu

Iklan
Mohamad Hamidi

IPOH - Bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi antara tumpuan Karnival Mesra Anak Muda (Kamu) 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini pada 20 dan 21 September ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, kelainan ditampilkan pada penganjuran edisi kali ini dengan turut mengekalkan karnival kerjaya yang dianjurkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tumpuan diberikan terhadap TVET bagi memberi pendedahan serta menarik minat generasi muda dalam bidang tersebut.

“Sebelum ini kita hanya membuka peluang pekerjaan melalui karnival kerjaya dengan membawa pelbagai sektor swasta dan sebagainya untuk anak muda.

Iklan

“Jadi, kali ini kita cuba bawa sesuatu yang baharu. Kita mahu mengajak anak-anak muda menyertai kursus-kursus TVET selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Kamu 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, Rabu.

Mohamad Hamidi berkata, beberapa ikon anak muda Perak dalam bidang TVET akan turut ditampilkan pada karnival berkenaan.

Iklan

Menurutnya, dengan tema Meraikan Bakat Muda Perak, penganjuran Kamu tahun ini turut menampilkan program khusus untuk Orang Asli seperti Battle of the Band, bola sepak sembilan sebelah dan sebagainya.

Katanya, majlis penutup akan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, selain dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan muzik popular tanah air seperti Bunkface, Floor 88 dan I Am Neeta.