WASHINGTON DC – Seorang wanita di Florida, Amerika Syarikat ditahan selepas didakwa menjalankan rawatan pergigian tanpa lesen dengan menggunakan kaedah berbahaya termasuk melekatkan veneer gigi menggunakan ‘super glue’ yang dibeli di kedai.
Wanita berusia 35 tahun yang dikenali sebagai Emely Martinez itu mempromosikan dirinya di media sosial sebagai 'pakar perubahan senyuman' dan menawarkan pakej veneer seluruh gigi pada harga sekitar AS$2,500 (kira-kira RM10,575).
Tawaran itu jauh lebih murah berbanding kos sebenar di klinik pergigian berlesen yang mencecah antara AS$900 hingga AS$1,500 (RM3,807–RM6,345) bagi setiap gigi.
Harga rendah yang ditawarkan menarik ramai pelanggan, namun ramai akhirnya menderita kerosakan gigi teruk, jangkitan dan kesakitan selepas mendapatkan rawatan daripadanya.
Menurut laporan Oddity Central, Emely menjalankan aktiviti haram itu dari sebuah premis di Pinellas Park dengan mendakwa dirinya sebagai juruteknik pergigian, walaupun tidak memiliki sebarang kelayakan atau lesen sah.
Tindakan itu terbongkar selepas dua pelanggan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Mereka kemudian mendapatkan rawatan di klinik gigi sebenar dan mendapati veneer yang dipasang telah dilekatkan menggunakan Krazy Glue, sejenis gam industri yang sama sekali tidak sesuai untuk tujuan perubatan.
Salah seorang mangsa malah terpaksa menjalani pembedahan kecemasan bagi membaiki kerosakan yang berlaku.
Emely ditahan pada 20 Ogos lalu dan kini berdepan pertuduhan menipu serta menjalankan amalan pergigian tanpa lesen.
Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama dia berurusan dengan pihak berkuasa.
Pada Mac 2025, wanita itu pernah ditangkap atas kesalahan sama di kawasan lain di Florida.