SHAH ALAM - Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh pendengaran rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan merujuk lapan persoalan undang-undang daripada saman difailkan bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther ke Mahkamah Persekutuan.
Peguam kepada Muhammed Yusoff, Rafique Rashid Ali berkata, mahkamah turut menjadualkan 19 Februari depan bagi pengurusan kes.
“Pihak responden (Muhammed Yusoff) baru sahaja mengarahkan kami untuk menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan tarikh pendengaran yang lebih awal, memandangkan kes ini merupakan kes berkepentingan awam.
“Bagi pihak responden, rayuan ini seharusnya dilupuskan lebih awal memandangkan Lampiran 145 di Mahkamah Tinggi hanya melibatkan isu perundangan sahaja serta rekod rayuan telah selesai difailkan,” katanya menerusi kenyataan surat yang dihantar oleh firma Law Practice of Rafique pada Selasa.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 21 Julai lalu membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan semua prosiding berkaitan kes saman sivil yang difailkan terhadapnya oleh Muhammed Yusoff.
Kes membabitkan dakwaan insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula 16 Jun lalu, namun telah diberikan penangguhan interim sebelum ini.
Pada prosiding sebelum ini, peguam yang mewakili Anwar, Alan Wong Teck Lee berhujah bahawa meneruskan perbicaraan pada 16 Jun lalu akan memberi kesan bahawa rayuan anak guamnya tidak boleh diubah dan segala kerugian yang dialami tidak dapat dipulihkan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther, Muhammad Rafique Rashid Ali membantah penangguhan dengan alasan ia akan mengganggu jadual mahkamah dan menjejaskan hak anak guamnya untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.