Polis buka kertas siasatan video tular skuter elektrik atas jalan raya

Iklan
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki bersama wanita dan kanak-kanak menaiki skuter elektrik di atas jalan raya dekat Bandar Uda Utama Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan satu video di aplikasi TikTok yang memaparkan sebuah kenderaan mikromobiliti atau skuter elektrik digunakan di atas jalan raya di Jalan Uda Utama, Bandar Uda Utama.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada kira-kira jam 3 petang, 15 Ogos lalu.

Iklan
Iklan

"Insiden membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama seorang wanita dan seorang kanak-kanak menaiki kenderaan berkenaan di lokasi terbabit.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 kerana menggunakan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin di talian 011-35807871.

Iklan