Protes Indonesia bersambung, tentera dikerah ke Jakarta

Iklan
Seorang mahasiswa memegang poster mengecam polis susulan kematian pemandu penghantar selepas dilanggar kenderaan taktikal di Jakarta. - Foto: AFP

JAKARTA - Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan di seluruh Indonesia pada Isnin, memaksa tentera dikerahkan di Jakarta selepas enam orang terbunuh dalam demonstrasi besar-besaran menentang elaun mewah ahli Parlimen.

Di Jakarta, sekurang-kurangnya 500 orang berkumpul di luar bangunan Parlimen sambil diperhatikan pasukan polis.

Iklan
Iklan

Tentera yang sebelum itu berkawal beredar selepas beberapa jam.

Gelombang protes turut melanda Palembang di Sumatera, Banjarmasin di Kalimantan, Yogyakarta di Jawa, dan Makassar di Sulawesi, menurut wartawan AFP di lokasi.

Iklan

"Kami mahu reformasi Parlimen. Mereka sepatutnya berjumpa kami kerana mereka wakil rakyat," kata seorang mahasiswa, Nafta Keisya Kemalia, 20 tahun.

Protes bermula minggu lalu selepas pendedahan elaun kediaman ahli Parlimen hampir 10 kali ganda gaji minimum Jakarta.

Iklan

Situasi bertukar ganas selepas rakaman tular menunjukkan trak polis merempuh penghantar makanan, Affan Kurniawan, 21 tahun hingga maut.

Presiden Prabowo Subianto serta Parlimen sudah membuat pusingan U dengan menarik balik sebahagian elaun, namun demonstrasi terus merebak yang sekali gus menjadi cabaran terbesar sejak beliau mengambil alih kuasa.

Bagi mengawal keadaan, pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya, rondaan tentera dan polis serta menempatkan penembak tepat di lokasi strategik.

Sekolah dan universiti di Jakarta diarahkan beralih kepada kelas dalam talian, manakala penjawat awam diminta bekerja dari rumah.

Keganasan turut merebak apabila rumah Menteri Kewangan dijarah, beberapa kediaman ahli parlimen diserang dan insiden kebakaran di bangunan dewan Makassar meragut tiga nyawa.

Indeks saham Jakarta menjunam lebih tiga peratus pada Isnin, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap ketidakstabilan politik yang kian meruncing. - AFP