BAITULMAQDIS - Pihak berkuasa Palestin mendakwa Israel menjalankan kerja-kerja penggalian rahsia di bawah kawasan Masjid al-Aqsa sehingga merosakkan artifak Islam bersejarah, termasuk tinggalan dari era pemerintahan Bani Umayyah.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pentadbiran Wilayah al-Quds menyatakan bahawa operasi penggalian tersebut dilakukan tanpa pengawasan antarabangsa dan bertujuan menghapuskan identiti sejarah Islam al-Aqsa serta mengubah fakta demi naratif pembinaan kuil Yahudi.
Iklan
Iklan
Rakaman yang bocor menunjukkan aktiviti penggalian bawah tanah oleh pasukan Israel berhampiran kawasan suci umat Islam itu.
Pihak Palestin menyifatkan tindakan tersebut sebagai jenayah budaya dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta perjanjian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang melindungi warisan dunia.
Menurut Al Quds International Institution, sekurang-kurangnya 64 terowong dan tapak penggalian telah dikenal pasti di sekitar kompleks Al-Aqsa sepanjang tahun ini, menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan struktur masjid dan keselamatan jemaah.
Pihak berkuasa Jordan, yang mentadbir wakaf Islam di kawasan tersebut belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun aktivis dan pemimpin tempatan menyeru campur tangan segera daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan warisan antarabangsa.
Insiden ini berlaku selari dengan laporan bahawa sekumpulan pelampau Yahudi telah menceroboh kawasan al-Aqsa dan melakukan ritual Talmudik di bawah perlindungan polis Israel pada Ahad lalu.