Jeram Toi dibuka semula, tarik lebih 1,000 pengunjung

Iklan
Kawasan Taman Eko Rimba Jeram Toi kini 'hidup' semula selepas hampir empat tahun ditutup akibat banjir besar.

JELEBU – Selepas hampir empat tahun ditutup akibat musnah dalam kejadian banjir besar, Taman Eko Rimba Jeram Toi di sini kini dibuka semula kepada orang ramai.

Difahamkan sejak pembukaannya pada Jumaat lalu, lebih 1,000 pengunjung telah datang termasuk dari luar Negeri Sembilan.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati ruang parkir ke kawasan terbabit penuh dengan kenderaan seawal jam 9 pagi, namun keadaan hujan pagi tadi menyebabkan air terjun kelihatan agak keruh.

Pengunjung, Sera Manap, 50, berkata, pembukaan semula kawasan rekreasi terbabit sememangnya dinanti-nantikan ramai kerana sebelum ini, lokasi itu antara tarikan utama pengunjung ke Negeri Sembilan.

Iklan

"Alhamdulillah, tempat ini 'hidup' semula selepas lama ditutup akibat kemusnahan teruk dalam kejadian banjir besar pada tahun 2021.

"Saya dimaklumkan oleh petugas Jabatan Perhutanan di sini bahawa semalam (Ahad) sahaja hampir 1,000 pengunjung datang," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa kemudahan baharu disediakan seperti tandas dan laluan pejalan kaki, namun masih ada yang perlu ditambah baik.

Warga emas, Mohd Zain Abdul Rahman, 67, pula berkata, kawasan itu sememangnya menjadi pilihan keluarganya untuk berkelah kerana lokasinya yang dekat dengan tempat tinggalnya di Kuala Klawang.

Orang ramai mula datang ke Taman Eko Rimba Jeram Toi seawal jam 8 pagi

"Saya dapat tahu tempat ini telah dibuka semula melalui hebahan di media sosial dan hari ini saya datang bersama isteri serta anak untuk melihatnya.

"Seronok bila orang ramai sudah boleh datang ke sini semula, sekali gus merancakkan kembali pelancongan ke Jelebu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim berkata, pembukaan semula kawasan rekreasi itu dibuat selepas pemantauan rapi mendapati ia selamat untuk dikunjungi.

Jelas beliau, perkara paling diberi tumpuan adalah fenomena kepala air kerana ia bukan sahaja boleh berlaku ketika hujan lebat atau banjir besar, sebaliknya turut tercetus apabila terdapat takungan air di bahagian hulu sungai.

“Di kawasan Jeram Toi ini terdapat banyak cabang sungai, sebab itu kita beri perhatian serius sebelum membenarkan ia dibuka semula kepada orang ramai,” katanya.

Hamidi berkata, antara kerja-kerja pemulihan yang dilakukan ialah pembinaan semula tebing sungai, pembaikan kolam semula jadi, selain penggantian kemudahan yang musnah hampir 90 peratus dalam kejadian banjir besar 2021.

Tambahnya, fasiliti baharu turut disediakan termasuk pembinaan tandas baharu, laluan pejalan kaki serta kawasan parkir yang lebih selesa untuk pengunjung.

“Kawasan ini juga telah dinaik taraf agar lebih mesra keluarga, dengan penyediaan bahagian kolam cetek yang sesuai untuk kanak-kanak serta kawasan berkelah di tepi sungai.

“Kita mahu Jeram Toi menjadi destinasi untuk semua lapisan masyarakat, khususnya mereka yang cintakan alam semula jadi,” katanya.