IPOH – Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan yang merosakkan dua premis perniagaan di Panorama Lapangan Perdana di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat mengenai kejadian pada jam 4.58 pagi itu diterima daripada seorang wanita berusia 43 tahun.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah meletakkan satu objek dipercayai bahan letupan di hadapan premis tersebut sebelum beredar.
“Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada pintu ‘roller shutter’ dan lantai manakala kedai bersebelahan mengalami kerosakan kecil pada papan tanda dan dinding,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, kejadian berpunca daripada penggunaan bahan letupan jenis bom tangan pegun atau pyrotechnic flash bang grenade stun.
“Pemeriksaan dijalankan oleh Unit Siasatan Pasca Letupan (PBI) dan Unit Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
“Bahan letupan tahap rendah ini bukan bertujuan mencederakan atau membunuh, namun digunakan untuk menakut-nakutkan serta menyebabkan kerosakan,” katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 011-1125 6246 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.