KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pemandu yang tidak bersalah dalam kemalangan jalan raya boleh membuat tuntutan terus kepada syarikat insurans mereka sendiri tanpa menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD).
Timbalan Pengarah Jabatan Tingkah Laku Pengguna dan Pasaran Bank Negara Malaysia (BNM), Lailatul Akma Mohd Shukor berkata, pilihan 'Own Damage Knock-for-Knock' (OD-KFK) membolehkan pemegang polisi insurans komprehensif membaiki kenderaan mereka melalui syarikat insurans sendiri tanpa perlu menunggu syarikat insurans pihak bersalah.
“Langkah ini mempercepatkan proses, mengelakkan kos pendahuluan dan mengekalkan NCD pemandu.
“Untuk menggunakan OD-KFK, pemegang polisi hanya perlu mengemukakan laporan polis serta dokumen berkaitan, kemudian syarikat insurans akan menguruskan tuntutan,” katanya menerusi satu program audio siar seperti dilaporkan The Star.
Jelas beliau, pilihan OD-KFK tidak terpakai sekiranya kemalangan melibatkan bas atau teksi dan jika terdapat kecederaan, di mana tuntutan perlu dibuat terhadap syarikat insurans pihak yang bersalah.
Beliau berkata, antara penambahbaikan utama adalah pemendekan tempoh proses tuntutan polisi insurans kenderaan bermotor ini dengan menetapkan jangka masa lebih jelas kepada syarikat insurans dan memudahkan pelanggan.
“Pengguna kini akan menikmati hasil yang lebih adil, telus dan cepat.
“Di bawah polisi baharu ini, tempoh pemprosesan purata bagi tuntutan kerosakan kenderaan sendiri dipendekkan sehingga 20 hari bekerja, manakala tuntutan kerosakan harta pihak ketiga boleh diselesaikan sehingga 80 hari bekerja lebih awal.
“Kami mahu proses ini lebih mudah dan mesra pengguna selepas bertahun-tahun orang ramai mengadu mengenai kerenah birokrasi dan tempoh menunggu yang panjang,” ujar beliau.
Tambahnya, BNM turut memperkenalkan Bantuan Tepi Jalan Digital (Digital Roadside Assistance) yang membolehkan pemegang polisi mendapatkan trak tunda berdaftar, mencari bengkel berdekatan serta menghantar dokumen melalui aplikasi mudah alih atau laman web syarikat insurans.
“Tidak perlu lagi keliru siapa perlu dihubungi atau berisiko berurusan dengan trak tunda tidak sah. Segala urusan daripada permintaan bantuan hingga penghantaran dokumen boleh dilakukan melalui aplikasi 24 jam sehari, walaupun kereta rosak atau tayar pancit,” katanya.
Jelas beliau lagi, bagi kes yang tidak dapat diselesaikan, pemegang polisi boleh membawa perkara tersebut kepada Perkhidmatan Ombudsman Kewangan (FOS), sebuah badan bebas yang menyediakan penyelesaian pertikaian secara percuma.
“Reformasi ini bertujuan menjadikan proses tuntutan insurans kenderaan lebih adil, pantas dan telus, sekali gus mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap sistem ini,” katanya.