KUANTAN – “Bila diberi tanggungjawab melaungkan 'Merdeka', Saya teringat kembali laungan keramat Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957.”
Demikian kata veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Othman Tan, 87, selepas diberi penghormatan melaungkan perkataan keramat itu sebanyak tujuh kali sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pengalaman itu mengimbau kembali suasana sambutan kemerdekaan pertama negara ketika beliau berkhidmat dalam Batalion Keenam Askar Melayu.
"Suasana berbeza dan sudah 68 tahun berlalu, tapi saya seronok dan bersemangat untuk menjalankan penghormatan yang diberikan.
"Ini juga membuatkan saya teringat kembali semasa sambutan merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur lebih enam dekad lalu," katanya ketika ditemui di pekarangan Padang MBK1 di sini pada Ahad.
Bercerita lanjut, Othman memberitahu bahawa beliau berpeluang menyaksikan sendiri laungan keramat Almarhum Tunku Abdul Rahman selepas ditugaskan menjaga pintu masuk stadium.
"Saya melihat sendiri Tunku Abdul Rahman, Raja-Raja Melayu dan wakil British berada di atas pentas dan mendengar laungan 'Merdeka' daripada Tunku.
“Ketika itu, saya rasa sangat bangga kerana ia merupakan Hari Kemerdekaan pertama tanah air,” luahnya lagi.
Beliau berkhidmat selama tujuh tahun dalam ATM dan lima tahun sebagai anggota simpanan pasukan Askar Melayu, ketika itu masih belum menerima gelaran Diraja.
“Selepas merdeka, barulah kami bergelar Askar Melayu Diraja dan kami kemudiannya terpilih menjadi pasukan pertama mengawal Yang di-Pertuan Agong yang pertama,” jelasnya.
Menjawab mengenai suasana sambutan, Othman berkata sambutan Hari Kebangsaan kini jauh lebih meriah berbanding zaman awal kemerdekaan.
Katanya, puluhan tahun dahulu, rakyat masih terikat dengan pengaruh penjajah, justeru sambutannya sederhana.
"Tapi sekarang, seluruh negara meraikannya dengan penuh warna-warni dan saya bangga melihat semangat ini,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Khairul Zukri Abdullah berasa bertuah apabila diberi amanah membacakan ikrar Rukun Negara di hadapan ribuan rakyat.
Jelasnya, ini merupakan peluang pertama kali dan pasti meninggalkan kenangan bermakna.
"Saya memang tidak sangka dan ini peluang yang cukup mengujakan bagi saya hari ini.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) kerana memberi peluang kepada saya untuk membaca ikrar pada hari yang penuh bersejarah dalam negara kita,” katanya.