Si cilik berbusana unik curi tumpuan di Pasir Gudang

Iklan
Musa bersama anaknya, Khalid Safwan yang mengenakan pakaian seragam tentera

PASIR GUDANG – Di sebalik kemeriahan program perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat daerah Johor Bahru yang dianjurkan di TMIYC Pasir Gudang, gelagat beberapa kanak-kanak berbusana unik nyata mencuri perhatian.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua kanak-kanak berkenaan hadir bersama keluarga masing-masing sejak awal pagi bagi menyaksikan acara perbarisan dan perarakan berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagi suri rumah, Rozana Ali, 36, dia bersama empat anaknya hadir ke program berkenaan bagi menyaksikan suaminya yang menyertai perbarisan dan perarakan tersebut.

Rozana bersama empat anaknya, Safaraz Razin,Safaraz Rizqi, Sumayyah Raihanah dan Sumayyah Raniah pada program berkenaan.

Iklan

Menurutnya, kesemua anaknya begitu teruja untuk menyaksikan bapa mereka yang mewakili Kontinjen Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan kali ini.

"Kami tinggal tidak jauh dari sini dan sebaik selesai solat Subuh, kami telah datang ke sini untuk dapatkan tempat terbaik dan melihat suami dengan lebih dekat.

Iklan

"Mengenai pakaian pula, memang kami dah rancang untuk anak-anak memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan tak sangka ramai juga yang mengenakan pakaian yang sama. Jadi meriahlah sikit," katanya.

Seorang lagi kanak-kanak, Umar Haziq, 5, pula didapati mengenakan tanjak berwarna hitam serta berbaju ala bendera Jalur Gemilang ketika menyaksikan acara perbarisan dan perarakan tersebut.

Menurut bapanya, Kamarul Hatta Mustafa, 42, anaknya itu sememangnya teruja apabila mengenakan pakaian berkenaan.

Kamarul Hatta bersama anaknya, Umar Haziq.

"Sebenarnya, setiap tahun saya terlibat dalam program seperti ini. Kali ini saya dapat cuti, jadi saya ambil kesempatan bawa anak dan isteri ke sini untuk saksikan acara perbarisan dan perarakan kemerdekaan.

"Bagi anak saya, ini merupakan kali pertama dia tengok acara ini dan saya sengaja belikan pakaian berkonsepkan Jalur Gemilang untuk dipakainya.

"Memang anak saya suka dengan pakaian ini dan insya-ALLAH saya akan sediakan pakaian baharu bagi acara perbarisan dan perarakan kemerdekaan tahun depan pula," katanya.

Turut mencuri perhatian anak kepada Musa Abd Rahman, 46, Khalid Safwan yang berusia 4 tahun mengenakan pakaian seragam tentera ketika menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan kali ini.

Musa berkata, anaknya itu memang gemarkan pakaian seragam tentera tersebut dan tidak mahu membukanya sebaik sahaja memakainya buat kali pertama pada Jumaat lalu.

“Kelmarin, kami sempat tengok raptai di Putrajaya dan anak saya, Khalid Safwan, memang seronok sampai tak mahu buka pakaian seragamnya ini.

"Hari ini kami di sini pula dan sempat tengok acara perbarisan merdeka yang diadakan bagi peringkat negeri Johor," katanya.