Johor selesai 99.2 peratus hak milik tanah peneroka Felda

Iklan
Inisiatif tersebut bertujuan memastikan kelestarian penempatan Felda di Johor. Foto kecil: Zahari

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor berjaya menyelesaikan sebanyak 27,429 atau 99.2 peratus penyerahan geran hak milik tanah (lot utama) peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negeri ini setakat Ogos 2025.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, pihaknya menyasarkan baki geran berkenaan dapat diserahkan menjelang penghujung 2025. 

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi Generasi Kedua Felda pula, seramai 7,915 penerima (75.3 peratus) telah mendapat manfaat menerusi penyerahan geran hak milik lot kediaman daripada 10,363 kelulusan permohonan.

"Pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Felda, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor, Pejabat Tanah Daerah serta agensi-agensi berkaitan bagi melancarkan proses permohonan, pengesahan dan pengeluaran geran hak milik yang dinantikan seluruh warga Felda.

Iklan

"Usaha ini bukan sahaja memberikan jaminan pemilikan tanah yang sah kepada peneroka Felda, malah membuka peluang kepada Generasi Kedua Felda memiliki lot kediaman sendiri.

"Seterusnya ia memastikan kelestarian penempatan Felda di Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, Zahari berkata, Menteri Besar Johor baru-baru ini telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.62 juta bagi melaksanakan 10 inisiatif khas untuk warga Felda, selari dengan aspirasi mengukuhkan kesejahteraan sosial warga Felda.

Sselain itu katanya, kerajaan negeri bersama Felda turut memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi pembangunan infrastruktur asas lot kediaman Generasi Felda di negeri ini.

"Kerajaan negeri yakin bahawa segala usaha yang digerakkan ini akan menyumbang kepada kesejahteraan warga Felda dan seterusnya memperkasa pembangunan komuniti luar bandar selari dengan agenda Maju Johor," katanya.