Selangor perkenal garis panduan baharu pusat penjagaan elak penderaan

Iklan
Anfaal Saari

SELAYANG – Kerajaan Selangor akan melancarkan garis panduan baharu bagi memperkasakan pusat penjagaan termasuk taska, tadika, pusat jagaan warga emas dan OKU dalam usaha memastikan keselamatan kanak-kanak serta mengelakkan berulangnya kes penderaan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Shaari berkata, garis panduan itu kini di peringkat akhir penambahbaikan dan dijangka dilancarkan sekitar Oktober atau November ini selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Iklan
Iklan

“Antara usaha kita ialah mewujudkan safe space dengan menambah baik kualiti pusat penjagaan melalui garis panduan seragam yang dapat mengurangkan birokrasi dan pada masa sama memastikan pengusaha mematuhi piawaian kualiti serta keselamatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Sukan Rakyat dan Kebudayaan sempena Hari Kemerdekaan di Padang Awam Selayang Indah, di sini pada Ahad.

Iklan

Baru-baru ini, dua kes penderaan kanak-kanak di Kuala Selangor menjadi perhatian ramai.

Dalam kes pertama, seorang wanita berusia 54 tahun dihukum penjara lapan tahun pada 4 Julai lalu selepas didapati bersalah mendera anak angkatnya berusia 13 tahun menggunakan lesung batu, alu dan pisau antara tahun 2016 hingga 2018 sehingga menyebabkan kecederaan serius.

Iklan

Anfaal (kiri) ditemui pada Karnival Sukan Rakyat dan Kebudayaan sempena Hari Kemerdekaan di Padang Awam Selayang Indah pada Ahad.

Kes kedua pula, seorang gadis berusia 13 tahun pula diselamatkan di Taman Bendahara selepas didapati diabaikan ibu angkatnya sehingga sering kelaparan, tidak bersekolah dan terpaksa merayau mencari makanan. Kes berkenaan terbongkar susulan laporan seorang sukarelawan NGO pada 5 Julai lalu.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Anfaal menjelaskan, kesedaran masyarakat untuk melaporkan kejadian penderaan kepada pihak berkuasa kini semakin meningkat.

“Dulu ada kes penderaan yang tidak dilaporkan kerana bimbang tindakan dikenakan terhadap pelapor, namun kini komuniti lebih berani tampil. Ini menunjukkan kesedaran semakin tinggi dan ia sangat membantu pihak berkuasa serta Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha menangani penderaan kanak-kanak perlu dilihat secara menyeluruh termasuk faktor kesihatan mental dan tekanan ekonomi dalam kalangan ibu bapa atau penjaga.

Ditanya mengenai cadangan talian khas negeri, Anfaal berkata buat masa ini kerajaan negeri memilih untuk menggunakan talian sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) seperti Talian Kasih 15999.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga bekerjasama dengan Exco Agama, Dr. Fahmi Ngah untuk menambah baik aspek keselamatan di institusi berasrama di bawah bidang kuasa negeri seperti pusat tahfiz dan asrama berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Kita mahu pelajar ini ada ruang untuk melaporkan, diberi kesedaran tentang apa yang betul dan salah supaya tidak menjadi mangsa senyap. Contohnya, jika disentuh secara tidak wajar atau dimaki, mereka tahu perkara itu salah dan perlu dilaporkan,” tambahnya.