MANCHESTER United hampir berputih mata sekali lagi, namun sepakan penalti Bruno Fernandes pada saat akhir menyelamatkan maruah Red Devils yang menewaskan Burnley 3-2 dalam aksi mendebarkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford.
Gol kemenangan lewat itu bukan sahaja menghidupkan semula semangat di laman keramat The Red Devils, malah memberi sedikit ruang bernafas kepada pengendali Ruben Amorim yang kini dibelenggu tekanan susulan prestasi hambar sejak awal musim.
United turun menentang Burnley, kelab dari Liga Kejuaraan bimbingan Scott Parker, dengan hanya satu mata daripada dua aksi liga pertama.
Mereka dilihat berdepan tekanan apabila memohon maaf kepada penyokong menerusi nota ringkas dalam buku program perlawanan susulan kekalahan memalukan kepada Grimsby Town dalam saingan pusingan kedua Piala Liga.
Rekod 23 perlawanan tanpa kalah menentang The Clarets yang baru dinaikkan menjadi bekalan moral penting buat Red Devils apabila memulakan perlawanan dengan penuh intensiti dan akhirnya dihadiahkan gol pendahuluan pada minit ke-27 hasil jaringan sendiri pemain Burnley, Josh Cullen.
Namun, kelekaan di separuh masa kedua mengundang padah apabila Lyle Foster menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-55, sejurus selepas rehat.
Gol itu segera dibalas oleh pemain baharu, Bryan Mbeumo yang merembat masuk gol kedua tuan rumah kurang dua minit kemudian, sebelum segalanya menjadi tegang semula apabila kesilapan penjaga gol Altay Bayındır membenarkan Jaidon Anthony menjaringkan gol penyamaan kedua Burnley pada minit ke-66.
Ketika perlawanan hampir berakhir, Anthony sekali lagi menjadi watak utama apabila kali ini menarik jersi Amad Diallo dalam kotak penalti.
Pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas empat minit semakan menerusi sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), yang disempurnakan Fernandes pada minit ke-95.
“Saya juga marah seperti penyokong. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.
"Tetapi hari ini, bola sepak akhirnya adil kepada kami, United pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini,” ujar Amorim.
Sementara itu, Chelsea melonjak ke tangga teratas liga selepas menundukkan Fulham 2-0 di Stamford Bridge, sekali gus meneruskan rentak cemerlang skuad bimbingan Enzo Maresca yang sebelum ini mencatat kemenangan bersih dalam dua perlawanan pembukaan.
Tottenham Hotspur pula merasai kekalahan pertama di bawah kendalian Thomas Frank selepas dikejutkan Bournemouth 0-1 hasil jaringan Evanilson pada minit kelima di London.
Gol tunggal perlawanan skuad bimbingan Andoni Iraola itu sekali gus menamatkan permulaan sempurna Spurs yang sebelum ini mengejutkan juara bertahan, Manchester City.
Sunderland pula membuktikan mereka bukan sekadar pasukan pelengkap jadual selepas menundukkan Brentford 2-1 di Stadium of Light, meneruskan permulaan cemerlang skuad The Black Cats yang kembali ke liga teratas England musim ini.
Di Stadium Molineux, Everton meneruskan momentum positif pusingan kedua Piala Liga menewaskan Mansfield Town 2-0, Khamis lalu, dengan kemenangan penting 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers, yang kekal tanpa sebarang mata selepas tiga perlawanan.