Malaysia #QuranHour perlu diperkasa, libatkan lebih ramai generasi muda

Iklan
Idris Al-Mashrafi.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Malaysia #QuranHour 2025 yang berlangsung di Masjid Negara pada Sabtu perlu diperkasakan agar menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Pengarah Institut Al-Mashrafi Hafazan al-Quran dan Pengajian Islam, Datuk Sheikh Dr Idris Al-Mashrafi berkata, inisiatif program berkenaan disifatkan sebagai satu usaha murni dalam mendekatkan masyarakat dengan al-Quran, malah wajar diadakan secara berterusan.

Iklan
Iklan

“Alhamdulillah, program yang berlangsung hari ini amat cantik dan bermanfaat. Masya-ALLAH, semua umat Islam perlu mengadakan program seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Iklan

Idris Al-Mashrafi berkata, penyertaannya kali ini merupakan pengalaman pertama bersama Malaysia #QuranHour walaupun sebelum ini beliau pernah terlibat dalam pelbagai program berkaitan al-Quran anjuran pelbagai pihak.

“Sebelum ini saya banyak terlibat dengan program yang dianjurkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk menguruskan tahfiz di bawah seliaan beliau sejak 2015 hingga 2024.

Iklan

“Kini saya sendiri mengusahakan sebuah maahad al-Quran bagi membantu pelajar memperbaiki bacaan serta mendalami ilmu al-Quran di Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Malaysia #QuranHour dapat diteruskan dengan penglibatan lebih ramai lapisan masyarakat termasuk generasi muda.

“Insya-ALLAH, harapan kita semua agar program ini pada masa depan menjadi lebih baik daripada sekarang,” katanya.