KOTA BHARU – Dalam suasana dunia yang semakin mencabar emosi dan rohani wanita, al-Quran kembali diangkat sebagai sumber kekuatan jiwa apabila lebih 250 wanita berhimpun menyertai Program Tadabbur dan Tazakkur Tujuh Surah Mussabihat: Bicara ALLAH kepada Wanita, di Masjid Imanul Fa’izin, Padang Kala Melor, di sini, pada Rabu.
Program anjuran Biro Program Khas Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) dengan kerjasama pengurusan masjid itu berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam membina kefahaman al-Quran dalam kalangan wanita.
Pengarah Program, Zaharah Che Isa berkata, pengisian program dirangka khusus bagi memberi kefahaman, keyakinan dan kekuatan rohani kepada wanita melalui penghayatan ayat-ayat al-Quran daripada tujuh Surah Mussabihat.
Menurut beliau, surah-surah tersebut yang dimulakan dengan lafaz tasbih seperti Subhana, Sabbaha, Yusabbihu dan Sabbih membawa mesej penyucian jiwa serta menjadi benteng rohani ketika wanita berdepan ujian, cabaran dan musibah kehidupan.
“Melalui tadabbur ini, wanita dididik untuk bersangka baik dengan ketetapan ALLAH serta memahami bahawa al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi PRNNK, Mejar (B) Datuk Adnan Hashim.
Ujar beliau, tujuh Surah Mussabihat yang diketengahkan ialah al-Isra’ (QS 17), al-Hadid (QS 57), al-Hasyr (QS 59), al-Saff (QS 61), al-Jumu‘ah (QS 62), al-Taghabun (QS 64) dan al-A‘la (QS 87), dengan sesi tadabbur serta tazakkur.
Zaharah berkata, program berkenaan merupakan antara aktiviti teras PRNNK bagi tahun 2026 dalam menggerakkan perjuangan #SavingTheUmmah, khususnya melalui platform pendidikan al-Quran yang menyentuh hati dan realiti kehidupan wanita.
“Perjuangan menyebarkan kefahaman al-Quran berasaskan konsep Baca, Faham, Amal dan Sebar perlu dilaksanakan secara berterusan serta melalui kerjasama pelbagai pihak,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Imanul Fa’izin atas sokongan padu dalam menjayakan program berkenaan.