KUALA LUMPUR - Program Malaysia #QuranHour 2025 diserikan dengan kehadiran sekitar 80 peserta terdiri daripada wanita dan warga emas yang mengenakan tudung bermotifkan Jalur Gemilang, menetapi tema program iaitu ‘Merdeka Dengan Rasa’.
Wakil Persatuan Petaling Jaya Selatan (PJS), Supartini Mohd Arshad, 59, berkata, pihaknya bergerak ke lokasi perdana, Masjid Negara seawal jam 8.30 pagi menaiki dua bas persiaran.
Menurutnya, peserta terlibat merupakan penduduk dari Taman Sri Manja, Taman Medan dan Taman Dato’ Haron.
“Kami memang sepakat mahu pakai tudung seragam corak Jalur Gemilang, selari tema Malaysia #QuranHour 2025 iaitu 'Merdeka Dengan Rasa'.
“Sebelum ini, kami pernah adakan rombongan ke Studio My #QuranTime di Karangkraf, Shah Alam bahkan mengikuti siaran langsung di TV9.
“Apabila sertai program ini secara langsung, terasa semangat untuk membaca al-Quran bersama-sama walaupun kali ini tidak terlalu ramai yang turun,” katanya.
Supartini berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian semasa program Malaysia #QuranHour 2025 di sini pada Sabtu.
Dalam program itu turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Turut hadir ialah Duta Senegal ke Malaysia, Abdoulaye Barro; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel; Duta Jordan ke Malaysia, Dr Ismael Maaytah; Duta Mesir ke Malaysia, Karim Mohamed Elsadat Abdelkarim.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff juga hadir selaku penganjur Malaysia #QuranHour 2025.
Program kali ini mengetengahkan tiga surah utama sebagai panduan iaitu Surah al-Saff, al-Balad dan Ali’ Imran.
Malaysia #QuranHour 2025 diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Negara bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Misi #ResetRasa yang dibawa merupakan satu bentuk seruan kepada masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling misalnya melalui surah al-Saff ayat 14, memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam serta rakyat dalam membantu membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang.
Kempen Malaysia #QuranHour 2025 disokong oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi, diikuti penyertaan sinergi media seperti Sinar Harian, Astro Awani, Astro Oasis, TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia FM (IKIM FM) dan TV IKIM, TV9, Bernama, Media Prima Berhad, Nu Ideaktiv, Zayan FM, Denaihati Network serta Santai Travel.
Malaysia #QuranHour 2025 juga dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat kerjasama pelbagai organisasi termasuk Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Rumah Ngaji dan Sahabah al-Quran dalam serta luar negara.