SEREMBAN - Program Malaysia #QuranHour dengan tema 'Merdeka dengan Rasa' mengingatkan tanggungjawab sebagai rakyat di negara ini.
Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan (Bakriyah) Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof berkata, menjadi peranan setiap orang untuk memastikan keamanan negara terus dipelihara.
Pada masa sama katanya, sebagai seorang yang beragama Islam, perlu berusaha berpegang teguh kepada agama dan sentiasa menjadikan Rasullah sebagai contoh.
"Bila kita sebut rasa, ia melibatkan peranan kita sebagai seorang Muslim dan rakyat negara ini.
"Merujuk kepada tiga surah utama iaitu surah al-Saff, surah al-Balad dan surah Ali Imran membawa huraian yang amat bermakna iaitu mengajak kita menjadi seorang Muslim yang baik dengan mempunyai rasa empati, tanggungjawab dan cinta kepada tanah air serta agama," katanya ketika ditemui di program Malaysia #QuranHour peringkat Negeri Sembilan di Masjid Al Amin Bandar Warisan Puteri di sini pada Sabtu.
Oleh sebab itu ujarnya, pentingnya umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan terbaik dalam kehidupan mereka.
Sementara itu Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin yang turut hadir pada programmengingatkan masyarakat bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan jiwa.
"Kebebasan itu perlu berpandukan kepada pendekatan Ahassa iaitu rasa yang mencetus kepada suatu tindakan.
"Nilai Ahassa menjadikan kita bukan hanya pemerhati, tetapi penolong agama Allah, pejuang kebenaran yang bersatu dalam saf yang teguh,"katanya.
Tambahnya, gabungan dua surah hebat iaitu Surah al-Saff dan Surah al-Balad boleh dijadikan sebagai pemangkin kebangkitan ummah.
Jelasnya lagi, gabungan ini juga menjadi panduan umat Islam untuk mengetuai kekuatan saf dan menghidupkan nilai Ahassa iaitu rasa empati yang mendalam, rasa yang menggerakkan tindakan untuk membela dan menyantuni sesama insan.
"Makanya, manusia tanpa mengira latar belakang, kedudukan dan pangkat perlu bersatu di bawah rahmat ALLAH untuk membina negara yang adil, ihsan dan peradaban tinggi," katanya.
Pada program berkenaan, kira-kira 500 peserta yang terlibat termasuk pelajar dan komuniti setempat.
.