JAKARTA – Nilai mata wang rupiah terus melemah pada Jumaat, 29 Ogos 2025, berikutan sentimen politik domestik yang semakin tegang.
Pada jam 10.45 pagi waktu tempatan, rupiah didagangkan pada paras 16,507.25 rupiah berbanding satu dolar Amerika Syarikat, berbanding penutupan sehari sebelumnya pada 16,352 rupiah.
Pemerhati mata wang, Ibrahim Assuaibi berkata, penyusutan mendadak itu sebahagiannya berpunca daripada kematian seorang penunggang motosikal e-hailing (ojol) yang digilis kenderaan taktikal Briged Mobil (Brimob) polis ketika protes pada malam Khamis, 28 Ogos.
Menurutnya, insiden berkenaan telah mencetuskan ketegangan politik domestik susulan bantahan rakyat terhadap elaun perumahan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
“Ketegangan ini menyebabkan pasaran hilang keyakinan terhadap kestabilan politik Indonesia sekali gus menekan nilai rupiah,” katanya pada Jumaat.
Beliau turut menjangkakan kematian pemandu ojol itu akan terus menyemarakkan gelombang protes di seluruh negara.
Dari faktor luaran, prestasi ekonomi Amerika Syarikat turut mempengaruhi kelemahan rupiah. Ibrahim menjelaskan pertumbuhan ekonomi AS bagi suku kedua 2025 direkodkan pada 3.3 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran awal 3.1 peratus.
“Ini menunjukkan ekonomi AS berada dalam keadaan kukuh,” katanya.-Agensi