SEBAIK sahaja selesai Sidang Tahunan Majlis Permesyuaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI), berapa anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bangun dan berjoget mengikut alunan Gemu Fa Mi Re.
Lagu itu merupakan salah satu lagu daerah Indonesia yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, dicipta oleh Nyong Franco.
Ia juga satu kelaziman bagi badan legislatif di negara itu setiap kali sidang tahunan atau usul-usul rasmi kerajaan selesai.
Bagaimanapun, ia telah menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia kerana ada yang berpendapat masalah ekonomi rakyat masih belum selesai.
Malah, menambahkan lagi rasa benci dan sakit hati ialah 580 ahli DPR menerima elaun perumahan sebanyak 50 juta rupiah (RM15,400) sebulan sejak September 2024.
Kemarahan itu semakin memuncak apabila ribuan penuntut universiti melakukan demonstrasi dan bertindak agresif ketika cuba mara ke bangunan Parlimen di Jakarta pada Isnin lalu.
Demonstrasi tersebut terus merebak dan pada Khamis, seorang pengemudi ojek online (Ojol) atau di kenali sebagai penghantar p-hailing jika di Malaysia, mati selepas dilanggar sebuah kereta perisai polis.
Affan Kurniawan yang berusia 21 tahun merupakan tulang punggung keluarga atau dalam bahasa Melayu, tulang belakang keluarga. Beliau tinggal bersama tujuh ahli keluarganya dalam sebuah rumah sebesar 3x11 meter di Menteng, Jakarta Pusat.
Istana Presiden Republik Indonesia dan pihak polis telah memohon maaf atas kejadian itu, dan menjanjikan siasatan telus serta adil dibuat.
Demonstrasi itu turut merebak di beberapa bandar besar di Indonesia yang menuntut agar kadar upah minimum dinaikkan, menolak pemberhentian kerja (PHK), mengesahkan Rang Undang-Undang Ketenagakerjaan dan menghapuskan sistem outsourcing yang berkaitan pekerjaan gig.
Mereka juga menuntut agar kerajaan memastikan kadar cukai yang adil, menyelesaikan masalah rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian Tenaga Kerja serta pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil.
Konteks Malaysia
Berbeza dengan Malaysia, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja, diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang itu penting bagi melindungi pekerja gig.
Antara bidang yang terlibat ialah p-hailing, e-hailing, pekerja bebas digital dan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Begitu juga dengan pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan yang telah dikuatkuasakan sepenuhnya untuk semua majikan pada 1 Ogos 2025.
Bagaimanapun, masih ada yang tidak berpuas hati dan mahu lebih banyak gaji diberikan kepada mereka, sesuai dengan taraf hidup yang tinggi pada masa ini.
Namun, di Malaysia kita boleh dikatakan beruntung kerana mereka yang berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah layak untuk menerima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan juga Sumbangan Asas Rahmah.
Sekurang-kurangnya kerajaan yang ada pada hari ini berusaha memastikan golongan rakyat yang susah dan miskin mendapat pembelaan sewajarnya.
Tetapi, pemerintah juga tidak boleh leka dan mengambil iktibar seperti yang berlaku di Indonesia.
Setiap perilaku dan tindak tanduk menjadi perhatian rakyat, dan jika tersalah langkah, ia akan menimbulkan kesan sangat besar.
Cuma yang kita harapkan rakyat Malaysia mengambil sikap rasional dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan ketidakstabilan dalam negara.
Masih banyak ruang untuk mendesak kerajaan melakukan yang lebih baik demi masa depan rakyat.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian