PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan bahawa keselamatan awam merupakan agenda utama kerajaan dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.
Justeru katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) diperlukan bagi menggantikan struktur usang yang tidak lagi selamat untuk diduduki.
"Intipati PSB adalah jelas, iaitu menggantikan bangunan lama yang berisiko dengan binaan baharu yang lebih kukuh, selamat dan berkualiti.
“Inilah komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,” tegasnya dalam sidang akhbar di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keselamatan bangunan susulan beberapa siri gempa bumi yang berlaku sejak Ahad lalu.
Menurutnya, meskipun Malaysia bukan berada dalam zon gempa bumi aktif, rakyat tidak boleh terlalu yakin bahawa negara ini akan terselamat selama-lamanya daripada ancaman bencana alam.
“Bumi sentiasa bergerak, itu fakta dan malang tidak berbau, sebab itu kita tidak boleh ambil mudah.
“Sama seperti tsunami yang pernah melanda, gempa bumi juga tidak mustahil berlaku,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) merekodkan lima gegaran gempa bumi lemah di Johor.
Gempa bumi lemah pertama berlaku di Segamat dan dikesan pada Ahad lalu jam 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1 dan kedalaman 10 kilometer (km).
Beliau berkata, antara cabaran utama ialah kewujudan banyak bangunan lama yang dibina sebelum tahun 2016 dan tidak menepati piawaian keselamatan semasa yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Bangunan baharu selepas tahun 2016 diwajibkan direka bentuk supaya mampu menahan gegaran pada skala tujuh.
“Tetapi bangunan lama yang tidak menepati standard itu berisiko runtuh jika berlaku gegaran besar. Inilah sebabnya PSB amat penting,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan PSB bukan sahaja bertujuan memperbaharui landskap bandar, malah merupakan keperluan mendesak untuk melindungi nyawa rakyat.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan.
“PSB adalah pendekatan menyeluruh untuk memastikan kawasan usang diganti dengan binaan yang lebih kukuh dan selamat untuk didiami,” katanya.
Kor Ming turut menyeru rakyat mencontohi masyarakat Jepun yang sentiasa menekankan aspek pencegahan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana alam.
“Jika gempa bumi berlaku di Putrajaya dan bangunan runtuh, tiada siapa mampu selamat.
“Sebab itu tanggungjawab menjaga keselamatan adalah amanah bersama, bukan hanya kerajaan semata-mata,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) kini menetapkan syarat yang lebih ketat sebelum meluluskan kebenaran merancang, termasuk memastikan setiap projek pembangunan baharu mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming memaklumkan bahawa kerajaan turut mewajibkan skor minimum 80 dalam Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) bagi semua projek perumahan, termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Residensi Rakyat (PRR).
“Projek PRR pertama negara di Parlimen Tambun akan dilancarkan hujung tahun ini.
“Rakyat akan dapat melihat perbezaannya kerana projek ini dibangunkan dengan standard antarabangsa, bahkan lebih baik daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura,” katanya.
Menurutnya, usaha ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sahaja menitikberatkan kualiti hidup rakyat, tetapi turut meletakkan keselamatan awam sebagai keutamaan dalam setiap aspek pembangunan.