Malaysia #QuranHour: Surah Al-Balad, As-Saff serlahkan makna merdeka

Iklan
Dr Abdullah (kanan) bersama jemaah yang hadir membaca dua surah sempena Malaysia #QuranHour bertemakan “Merdeka dengan Rasa” di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya pada Jumaat.

KUANTAN – “Kemerdekaan sebenar bukan hanya soal bebas daripada penjajahan, tetapi ia menuntut warganya mengamalkan nilai hidup yang luhur, menjaga keharmonian serta sentiasa empati terhadap golongan yang memerlukan.”

Demikian kata Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya, Dr Abdullah Ismail yang mengetengahkan mesej itu melalui penganjuran Malaysia #QuranHour bertemakan “Merdeka dengan Rasa”, sekali gus menjadikan permulaan sambutan kemerdekaan tahun ini lebih bermakna dengan penghayatan kalam suci.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Surah Al-Balad dan As-Saff dipilih sebagai panduan masyarakat dalam mengamalkan kesabaran, membantu golongan memerlukan, bercakap benar serta menjalani kehidupan yang tersusun, harmoni dan bersatu padu.

Tambah beliau, empat tuntutan penting daripada Surah Al-Balad diketengahkan untuk dihayati, iaitu pertama, membantu golongan tertindas termasuk mereka yang berhutang atau menjadi mangsa keganasan dan kedua memberi sokongan padu samada moral dan fizikal pada anak yatim.

Iklan

"Seterusnya membantu golongan fakir dan miskin serta terakhir memberi makan kepada mereka yang kelaparan serta memerlukan.

“Kadang-kadang kita lihat di sekeliling kita ada orang lapar tetapi tidak terdetik di hati untuk memberi bantuan. Ini menunjukkan kita belum merdeka.

Iklan

“Begitu juga dengan anak-anak yatim yang sedang derita, sedangkan Surah ini menuntut kita bertindak, membantu serta memberi sokongan moral dan fizikal kepada mereka kerana mereka sangat dekat dengan Allah SWT dan RasulNya SAW,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Program berkenaan diadakan sehari lebih awal daripada kempen nasional dan merupakan anjuran masjid tersebut dengan kerjasama Rumah Ngaji Negeri Pahang sempena Malaysia #QuranHour yang dijadual berlangsung di seluruh negara keesokan harinya.

Dalam majlis itu, Imam Nasrullah Abdul Ghani membimbing bacaan Surah Al-Balad, manakala Dr Abdullah menyampaikan tadabur bagi menjelaskan maksud ayat serta pengaplikasiannya dalam kehidupan seharian.

Program bermula jam 9.10 pagi dan berakhir jam 11.30 pagi itu, menarik kehadiran ramai jemaah Muslimin dan Muslimat yang memenuhi ruang Masjid Temerloh Jaya.

Dr Abdullah turut menjelaskan bahawa Surah As-Saff pula menekankan pentingnya pemimpin dan rakyat hidup dalam keharmonian, berperaturan dan tersusun.

“Maka alangkah indahnya jika dalam konteks negara, wujud gabungan sistem yang baik bermula daripada kepimpinan dan penggubalan dasar yang teliti, diikuti peranan penjawat awam sebagai agensi pelaksana yang bekerja kuat dan jujur.

“Seterusnya, ia diterjemah dengan baik oleh rakyat, menjadikan negara stabil, aman dan berjaya.

“Ini selaras dengan pernyataan bahawa Allah sukakan kita bekerja dalam satu barisan yang teratur seperti satu bangunan yang kukuh,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Abdullah berkata, kedua-dua surah tersebut menjadi panduan penting untuk menghayati maksud sebenar “Merdeka dengan Rasa”.

Katanya, sambutan kemerdekaan bukan hanya bersifat simbolik, tetapi memberi makna kehidupan seperti yang ditekankan dalam kedua-dua surah berkenaan.

“Kemerdekaan sebenar tercapai apabila kita merdeka dalam hati – dengan memberi, menyayangi dan menzahirkan amal,” ujarnya.

Beliau berkata, penglibatan masyarakat dalam program ini bukan sahaja memberi pahala melalui bacaan dan tadabur al-Quran, malah membimbing mereka mengamalkan nilai-nilai Quran dalam kehidupan seharian.