KUALA TERENGGANU – Pertandingan Diorama Antirasuah julung kali anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu berjaya menarik 53 penyertaan daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan institusi kemahiran di negeri ini.
Sebanyak 20 hasil karya diorama bertemakan antirasuah berjaya dihasilkan dan akan digunakan sebagai bahan pameran dalam setiap program pendidikan SPRM bagi menyampaikan mesej pencegahan secara kreatif.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata, pertandingan itu bertujuan mendekati mahasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sekali gus memberi pendedahan tentang bahaya jenayah rasuah melalui pendekatan seni dan kreativiti.
“Saya percaya bakat dan kreativiti pelajar bukan sahaja mampu menghasilkan diorama yang menarik, malah mencetuskan kesedaran dalam kalangan rakan-rakan mereka tentang bahaya rasuah.
“Nilai jujur, amanah dan bertanggungjawab perlu dipupuk sejak usia muda agar menjadi benteng dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya pada Khamis.
Pertandingan tersebut menyaksikan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail muncul juara dan pemenang tempat ketiga, manakala tempat kedua dimenangi Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut.
Selain pertandingan itu, SPRM Terengganu turut menganjurkan Diskusi Antirasuah Dana Awam 2025 yang dihadiri 112 peserta sebagai sebahagian daripada pengisian Mega Fiesta TVET POLYCC 2025.
SPRM Terengganu turut menyasarkan pencapaian dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi penglibatan lebih 30,000 peserta dalam Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 yang berlangsung dari 15 Julai hingga 25 September depan.
Program anjuran bersama Politeknik Sultan Zainal Abidin (PMZA) Dungun itu berpotensi direkodkan dalam kategori The Largest Turn Out in TVET Fair.
Hazrul Shazreen berkata, pengisian program merangkumi dua acara berimpak tinggi iaitu Diskusi Antirasuah Dana Awam 2025 dan Pertandingan Diorama Antirasuah yang diadakan serentak di Pejabat SPRM Terengganu pada Rabu.
“Kita mahu menyuntik kesedaran mengenai pentingnya nilai jujur, amanah dan bertanggungjawab yang perlu diterapkan sejak usia muda agar menjadi benteng dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.
Beliau berkata, mesej antirasuah itu turut dipaparkan menerusi sistem Mega Fiesta TVET Tracking selama 69 hari dengan capaian lebih 90,000 peserta.
Majlis penganugerahan sijil MBR dijadualkan berlangsung pada 25 September ini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).