SEGAMAT – Penduduk Segamat kini hidup dalam kebimbangan selepas lima gegaran direkodkan dalam tempoh enam hari sejak Ahad lalu.
Biarpun magnitud gegaran dianggap lemah, rata-rata penduduk mengakui resah dan bimbang sekiranya berlaku gegaran lebih kuat pada masa akan datang.
Penduduk, Mohamad Johan Hassan yang juga Imam 1 Surau Batu 2, Kampung Tengah berkata, beliau merasai gegaran pertama ketika menunaikan solat Subuh berjemaah pada Ahad.
Menurutnya, walaupun tidak menyebabkan kerosakan, namun kejadian itu mengejutkan masyarakat setempat.
“Gegaran susulan berlaku pada Rabu, ketika itu rasa sedikit gegaran. Kemudian pada malam Khamis ketika jemaah masjid sedang mengadakan bacaan Yasin juga terasa gegaran tetapi tidak lama.
“Selepas itu, pihak agama menganjurkan solat hajat, malah Menteri Besar turut memberikan perhatian terhadap gegaran gempa bumi di Segamat. Namun apabila gegaran berulang, penduduk semakin cemas kerana tidak tahu bila ia akan berlaku lagi,” katanya.
Mohamad Johan berharap saluran maklumat yang lebih pantas dan mudah difahami oleh penduduk dapat disediakan oleh pihak berkuasa.
“Penduduk, terutama warga emas, tidak faham beberapa perkataan yang digunakan dalam hebahan oleh beberapa agensi.
“Mungkin hebahan itu boleh dipermudahkan oleh agensi lain yang biasa dengan masyarakat seperti Jabatan Penerangan,” katanya.
Seorang penduduk Taman Pawana, Kampung Tengah, Ahmad Asri Talib, 52, berkata, bunyi dentuman sederhana dirasai pada malam Khamis diikuti gegaran yang jelas terasa di dalam rumahnya.
“Pada sebelah malam tadi, sekitar jam 7.57 malam, ada gegaran lagi, pintu gelangsar dan tingkap bergetar kira-kira dua hingga tiga saat.
“Selepas itu, pada awal pagi saya terjaga sekitar jam 4.24 pagi dan terasa ada gegaran tetapi tidak lama,” katanya.
Dia berkata, keadaan itu menimbulkan kerisauan sekiranya gegaran yang berlaku berulang dengan lebih kuat pada masa akan datang.
“Macam-macam di media sosial bercakap tentang gegaran di Segamat, malah ada yang meramalkan gegaran lebih dahsyat.
“Kami harap ada pakar geologi datang ke Segamat untuk menjelaskan keadaan sebenar supaya penduduk tidak panik,” ujarnya.
Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada jam 4.24 pagi Jumaat.
Gegaran itu merupakan yang terbaharu selepas gegaran berlaku pada jam 7.56 malam Khamis dengan magnitud 2.5.
Pada Rabu, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada jam 8.59 pagi di daerah ini dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di negeri ini serta selatan Pahang.
Sebelum itu, pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah ini pada jam 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1.
Ini disusuli gegaran kedua pada jam 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) di barat laut Kluang, dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang serta menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sebarang kecemasan.