KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenalkan Model Transformasi Risda (MTR) 2026- 2030, satu kerangka strategik dan holistik dalam memperkasa sosioekonomi lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, model tersebut memberi tumpuan kepada lima teras,16 fokus, 20 strategi dan 24 petunjuk prestasi utama (KPI) dengan sasaran pengeluaran getah negara mencecah satu juta tan metrik setahun menjelang 2030.
Menurut beliau, fokus utama RISDA antara lain menjadi pembeli tunggal atau utama hasil getah pekebun kecil dalam usaha menstabilkan harga pasaran, memodenkan pemprosesan getah domestik serta mengembangkan industri hiliran melalui produk bernilai tinggi.
“Pelaksanaan model berkenaan dijangka melibatkan pelaburan sebanyak RM17.2 bilion dengan sasaran purata pendapatan isi rumah pekebun kecil RM4,700 sebulan.
“Selain itu, keuntungan terkumpul Kumpulan RISDA disasarkan mencecah RM600 juta menjelang 2030. Saya yakin inisiatif ini mampu menjadikan getah sebagai komoditi masa depan yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing.
“Transformasi ini bukan sekadar retorik, tetapi perjuangan bersama untuk memastikan pekebun kecil terus berdaya maju dan industri getah diperkukuh selaras gagasan Malaysia Madani serta Aspirasi Desa Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA bulan Ogos 2025 bertempat di Auditorium Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Khamis. Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Haniza Ab Shukor dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Md Najip Ishak.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Sdn Bhd, Muhammad Adnin Bakir Abu Bakar; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik RISDA, Mohamad Asmizi Alias serta Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.
Dalam masa sama, RISDA turut mengaktifkan inisiatif RISDA Next Level yang menjadi elemen utama kepada pelaksanan MTR 2026-2030, merangkumi 10 elemen strategik seperti RisSMart24 dan RisSMart Butchery, Tanam Getah Berskala Besar, Perkayuan Getah, Harga Getah Bermaruah, UCAM TVET, serta Transformasi Sinergi Perdana – Bioorganik.
MTR 2026-2030 merupakan kesinambungan daripada pengenalan Model Perancangan Strategik Risda bagi 2021-2025.
Menerusi majlis bertemakan Transform itu, RISDA turut memperkenalkan persona yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) bernama AiRis sebagai identiti syarikat berkenaan dalam misi memperkenalkan MTR 2026-2030.
Manndzri berpandangan, visi MTR jelas iaitu menjadikan RISDA peneraju utama berprestasi tinggi dalam memperkasa sosioekonomi pekebun kecil selain memastikan kelestarian industri getah negara.
“Misi MTR pula berpaksikan penguasaan ekosistem rantaian bekalan industri getah berasaskan transformasi pendigitalan yang bertujuan memperkukuh produktiviti dan menjana ekonomi pekebun kecil.
“Kami tidak membuat perancangan kosong, sebaliknya menyediakan kerangka kerja yang jelas dan boleh dicapai,” ujar beliau lagi.