Hadiah merdeka buat 1.2 juta pekerja gig

Iklan
Pekerja gig menerima hadiah paling bermakna apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 akhirnya diluluskan selepas tujuh tahun digubal. Gambar hiasan Bernama

MENJELANG sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada Ahad ini, pekerja gig menerima hadiah paling bermakna apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 akhirnya diluluskan selepas tujuh tahun digubal.

Ia bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi pengiktirafan rasmi kepada lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung hidup dalam sektor tersebut.

Iklan
Iklan

Dengan hak rundingan gaji dan syarat kerja kini dijamin, pekerja gig boleh meraikan kemerdekaan kali ini dengan nafas baharu, bukan lagi berada di pinggir undang-undang, tetapi diiktiraf sebagai nadi ekonomi negara.

Seperti kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, RUU terbabit bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja selepas diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang itu akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

RUU itu meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.

Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pekerja gig akan diiktiraf kedudukannya di sisi undang-undang dan dilindungi dengan jaminan sosial lebih sistematik.

Beliau berkata, kelulusan RUU Pekerja Gig 2025 itu merupakan manifestasi jelas kerajaan tidak membiarkan pekerja gig terus berada di pinggiran tanpa perlindungan sosial dan hak sah.

Kelulusan RUU itu mengakhiri penantian sekian lama, memberi pembelaan sebenar kepada pemacu ekonomi gig negara.

Ia bukan sekadar undang-undang ia adalah simbol keadilan, memperkukuh semangat kemerdekaan yang kini dirasakan dalam bentuk hak tersurat dan dilindungi.

Walaupun mungkin ada kebimbangan kewajaran penguatkuasaan, bias sektor dan potensi overlap kuasa, namun ia adalah permulaan yang kukuh.

Tujuh tahun bukan tempoh singkat untuk menunggu keadilan, namun akhirnya pekerja gig menerima pengiktirafan nyata sebagai suara berwibawa dalam ekonomi moden.

Kelulusan itu adalah hadiah Merdeka yang bermakna, malah kebebasan kepada mereka untuk hidup lebih terjamin.

Jika dilaksana dengan telus dan menyeluruh, masa depan perlindungan pekerja gig Malaysia berpotensi cerah dan inklusif.