ALOR SETAR - Kedah dan Sarawak akan saling melengkapi peranan sebagai sumber pengeluaran beras negara apabila negeri itu berjaya muncul sebagai negeri jelapang padi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasrat Sarawak untuk muncul sebagai jelapang padi negara menjelang 2030 merupakan usaha positif dalam memastikan keterjaminan makanan negara.
Menurutnya, pengeluaran beras di Kedah sahaja masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Malaysia yang kini hanya mencapai kira-kira 60 peratus, manakala selebihnya masih bergantung kepada import.
“Saya rasa Sarawak tak perlulah ganti Kedah, hanya melengkapkan. Kedah, Kelantan, Terengganu dan Selangor masih tidak cukup untuk memenuhi permintaan negara.
“Kalau Sarawak dapat tingkatkan pengeluaran padi, ia akan bantu kurangkan import. Itu langkah yang sangat baik, tambahan pula Sarawak masih ada tanah yang luas, ” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Taman Jubli Emas di sini pada Khamis.
Pada 21 Ogos lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup berkata, Sarawak bakal muncul jelapang padi terbesar negara menjelang 2030, sekali gus dilihat mampu mengambil alih peranan Kedah.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada usaha Sarawak menjadikan negeri itu sebagai hab keterjaminan makanan sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pasca-Covid 19 Sarawak (PCDS 2030) dan sehingga berakhirnya Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-25.
Katanya, usaha itu seiring dengan hala tuju nasional memperkukuhkan sektor pertanian dan industri makanan asas tani demi menjamin keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.
Muhammad Sanusi tegaskan, sekiranya Sarawak berjaya menggantikan Kedah sebagai pengeluar utama beras negara, tanah sawah di negeri ini boleh dibangunkan untuk sektor lain yang memberi pulangan ekonomi lebih tinggi.
“Kita alu-alukan langkah itu. Kalau Sarawak boleh hasilkan lebih daripada keperluan negara, tanah di Kedah boleh kita majukan dengan industri atau perniagaan lain. Itu akan membawa hasil cukai lebih baik untuk negeri,” jelasnya.
Beliau berharap Sarawak akan dapat membantu Kedah dan bersama-sama meningkatkan hasil padi dalam negara untuk manfaat semua.
“Kena tolong lah Kedah, boleh kita guna tanah untuk buat benda lain. Sangat menggembirakan kalau ia berlaku.
“Kita pun seronok juga, sebab buat bendang untuk penghasilan padi, tanahnya tidak ekonomik. Saya harap Sarawak berjaya gantikan Kedah. Saya ucap selamat maju jaya kepada Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi tegaskan, usaha Kedah untuk terus meningkatkan pengeluaran beras dengan menghasilkan Beras Kedah tidak akan terjejas, sebaliknya inisiatif Sarawak mampu melengkapkan usaha negeri-negeri lain.
“Saya harap Sarawak berjaya capai sasaran itu. Kita sama-sama melengkapkan, bukan menggantikan.
“Kedah tetap teruskan usaha meningkatkan pengeluaran, inisiatif yang kita sedang usahakan juga sedang berjalan,” katanya.