KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati Muhyiddin, 78, telah memenuhi ujian seperti yang dikehendaki undang-undang.
Menurutnya, persoalan perlembagaan yang ingin dirujuk mempunyai kaitan langsung dengan perkara dipertikaikan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi kesan kepada penyelesaian perkara yang dipertikaikan dengan pantas.
"Persoalan itu sukar dan ia perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penyelesaian dan bantahan pihak pendakwaan selaku responden tidak bermerit.
"Saya menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 84 di bawah Akta Mahkamah Kehakiman supaya persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan dalam bentuk satu kes khas untuk keputusan.
"Prosiding kes di mahkamah ini akan ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian berkenaan permohonan rujukan itu di Mahkamah Persekutuan," katanya.
Pada prosiding berkenaan, Muhyiddin dikecualikan kehadiran ke mahkamah dan hanya diwakili peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani.
Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara jam 10.30 hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Kenyataan menghasut itu berkaitan dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 ahli Parlimen pada masa itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.