PGA lumpuhkan sindiket seludup migran

Iklan
Kenderaan yang digunakan sindiket penyeludupan bagi membawa migran. Gambar kecil: Hakemal

SEREMBAN - Sindiket penyeludupan migran yang aktif di kawasan sempadan Negeri Sembilan berjaya ditumpaskan selepas 22 warga Indonesia ditahan dalam satu operasi di sini, awal pagi Ahad.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi Op Taring Delta kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua 22 tangkapan warga Indonesia itu terdiri daripada 16 lelaki dan dua wanita, manakala empat lagi lelaki ialah tekong laut.

"Turut dirampas dalam operasi ini ialah dua kenderaan jenis Honda City dan Volkswagen Tiguan selain enam unit telefon bimbit yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran terbabit.

Iklan

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM239,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

PGA merampas telefon bimbit yang digunakan sindiket penyeludupan migran. Foto PGA

Iklan

Hakemal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menegaskan, kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Briged Tengah PGA merekodkan 39 serbuan bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Februari tahun ini di kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Hasilnya, seramai 161 individu ditangkap dengan rampasan mencecah RM8 juta," ujarnya.

Tambah beliau, pihak polis menyeru kerjasama masyarakat untuk menjadi barisan hadapan dalam menyalurkan maklumat sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan.