ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor masih menunggu laporan penuh daripada Petronas Gas Bhd (PGB) berhubung keadaan infrastruktur dan fasiliti paip gas syarikat berkenaan susulan gegaran gempa bumi lemah yang melanda daerah Segamat pada pagi Rabu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, laporan tersebut penting bagi memastikan infrastruktur dan fasiliti paip gas berada dalam keadaan selamat.
“Kita faham laporan mengenai fasiliti paip gas bawah tanah ini menjadi kerisauan penduduk. Bagaimanapun setakat ini kita belum menerima sebarang laporan daripada pihak Petronas mengenai kerosakan fasiliti mereka, sama ada berlaku pergerakan tanah dan sebagainya.
“Kita masih menunggu laporan lengkap daripada semua agensi berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk melihat jika ada langkah penambahbaikan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inovasi Pembaikan Terkini Jalan Negeri Johor di Persiaran Laksamana, Kota Iskandar, Khamis.
Menurut Mohamad Fazli, pemantauan awal terhadap aset kerajaan negeri seperti jalan raya, jambatan, bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta empangan di kawasan terlibat mendapati tiada kerosakan serius.
“Mungkin terdapat beberapa retakan kecil namun ia tidak menjejaskan struktur.
“Cuma bagi sekolah, hospital, klinik dan sebagainya di bawah agensi lain, kita masih menunggu laporan daripada jabatan masing-masing sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.
Beliau menambah, laporan pakar daripada agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan MetMalaysia diperlukan memandangkan peralatan pengesanan gegaran khusus belum dimiliki.
“Kita belum ada alat mengesan pergerakan tanah secara menyeluruh. JKR ada alat pengesanan pergerakan tanah tetapi hanya untuk cerun, manakala JPS untuk air pasang surut.
“Pemantauan sedia ada hanya untuk kawasan cerun menggunakan teknologi yang ada sekarang,” jelasnya.
Menurut Mohamad Fazli, sebarang tindakan penambahbaikan akan diputuskan selepas laporan penuh diterima daripada Jawatankuasa Bencana Negeri serta agensi berkaitan.
Pada Rabu, gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud dilaporkan berlaku pada jam 8.59 pagi di Segamat, Johor, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di negeri itu serta selatan Pahang.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, gempa bumi itu berlaku kira-kira 18 kilometer selatan Segamat, berpusat pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Pada Ahad lalu, gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer berlaku di Segamat pada jam 6.13 pagi.
Lokasi kejadian kira-kira lima kilometer barat Segamat, dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Kejadian itu turut dikesan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia.
Gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 direkodkan pada jam 9 pagi di kawasan Yong Peng, Johor iaitu kira-kira 28 kilometer barat laut Kluang.