SHAH ALAM – Tawaran wanita warga asing sebagai ‘peneman’ pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat hiburan tiga tingkat di Puchong, Selasa lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi jam 9.15 malam itu dijalankan susulan risikan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya.
Beliau berkata, serbuan berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 187 individu.
“Hasilnya, seramai 65 individu ditahan terdiri daripada 16 lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai pelayan bar, 18 wanita Thailand, 17 wanita Vietnam, dua wanita Indonesia, enam wanita Laos serta empat wanita Filipina berusia antara 20 hingga 55 tahun.
“Seorang lelaki tempatan yang mengaku penjaga pusat hiburan itu dan seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai penjaga kepada wanita asing turut ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, modus operandi premis hiburan itu ialah menawarkan wanita warga asing kepada pelanggan dengan kadar bayaran RM150 hingga RM300 bagi tempoh tiga jam pertama.
“Premis beroperasi dari jam 7 malam hingga 3 pagi dalam suasana penuh gemerlapan dengan muzik rancak.
“Ketika serbuan, sebahagian wanita asing terbabit sedang rancak melayan pelanggan,” katanya.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala pemilik premis turut disiasat kerana disyaki melindungi pendatang tanpa izin di bawah Seksyen 55E akta sama.
Zakaria berkata, pada hari sama JIM turut menyerbu sebuah kilang kitar semula di kawasan perindustrian Shah Alam pada jam 2.35 petang selepas dua minggu risikan berhubung aduan awam.
“Pemeriksaan terhadap 53 individu mendapati 36 warga Bangladesh berusia 35 hingga 50 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.
“Seorang lelaki warga Bangladesh pemegang pas Malaysia My Second Home (MM2H) yang masih sah turut diperiksa kerana berada dalam kawasan kilang dalam keadaan mencurigakan,” katanya.
Menurut beliau, tiga Borang 29 (saman kepada saksi) turut dikeluarkan kepada warganegara Malaysia dan seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan.
“Semua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, menyalah guna pas lawatan serta pihak yang menggaji atau melindungi mereka. Tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang tolak ansur,” katanya.