[VIDEO] Muhammad Izzuddin anak Orang Asli pertama hafiz al-Quran

Iklan

BACHOK - Sejarah tercipta apabila Muhammad Izzuddin Hasmadi, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tok Bachok, muncul sebagai anak Orang Asli pertama yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran di bawah program Ulul Albab.

Pelajar Tingkatan Empat daripada suku kaum Temiar, Pos Balar, Gua Musang itu menerima Anugerah Ibnu Qayyim selepas berusaha selama empat tahun menghafaz kitab suci berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut anak keenam daripada sembilan beradik itu, cabaran terbesar bukanlah menghafal al-Quran, sebaliknya istiqamah dalam mengingati ayat-ayat suci sepanjang hayat.

Muhammad Izzuddin bersama kedua ibu bapanya serta ibu saudara yang turut hadir pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Perdana SMK Agama Tok Bachok pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Iklan

“Sepanjang proses ini saya elak makan benda masam dan makanan segera serta banyak meluangkan masa pada waktu malam untuk menghafal.

“Minat terhadap al-Quran timbul sejak berusia 11 tahun ketika belajar di SK Balar selepas menyertai tilawah. Alhamdulillah, hasil bimbingan guru di sana, minat kepada al-Quran semakin berputik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Khatam Hafazan al-Quran Perdana SMK Agama Tok Bachok, Khamis.

Iklan

Hadir sama Pengetua, Muhd Fadhli Jusoh; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Program Adab dan Nilai Bahagian Pendidikan Islam, Mohamad Zaki Hamid; serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Datuk Azaha Berahim.

Muhammad Izzuddin berkata, ayahnya, Hasmadi Ghazali, 47, ibunya, Norsiah Along, 49, guru-guru serta rakan-rakan banyak memberi dorongan kepadanya sehingga membuatkan beliau enggan mengalah.

Muhammad Izzuddin (empat dari kanan) berkongsi hari bersejarahnya sebagai hafiz al-Quran bersama ibu bapa, guru-guru dan PIBG pada Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Perdana SMK Agama Tok Bachok pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Ujarnya yang bercita-cita menjadi jurutera, setiap kali mengingat kesukaran untuk hadir ke sekolah dengan perlu merempuh perjalanan lebih lima jam menaiki kereta meredah hutan dari Pos Balar ke Gua Musang, sebelum menyambung lagi empat jam ke Bachok, menjadi motivasi untuk cemerlang dalam pelajaran dan mengejar cita-cita sebagai hafiz al-Quran.

Sementara itu, Hasmadi yang merupakan guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Seri Kelana, Selangor, berkata Muhammad Izzuddin adalah anak pertamanya yang bergelar hafiz al-Quran.

“Alhamdulillah saya dan ibunya bersyukur serta berterima kasih kepada semua guru dan ibu saudaranya yang banyak membantu urusan Muhammad Izzuddin sepanjang belajar di sini.

“Harapan kami agar dia dapat meneruskan usaha ini dan menjadi contoh serta pembakar semangat kepada anak Orang Asli lain,” katanya yang mempunyai anak berusia antara 36 hingga 11 tahun.

Menurut beliau, beberapa anaknya kini bertugas sebagai penggerak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tentera, polis, manakala dua masih menuntut di Universiti Islam Selangor, selebihnya di sekolah menengah dan rendah.