KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan tanggapan dilemparkan sesetengah pihak kononnya Kerajaan Madani meminggirkan negeri tertentu.
Menurutnya, angka jelas menunjukkan peruntukan diterima negeri terbabit termasuk yang diterajui Perikatan Nasional (PN) bukan saja naik malah diperluas kepada pelaksanaan projek mega yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, umpamanya dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Terengganu, Kelantan dan Pahang menjadi antara negeri yang memperoleh peruntukan tertinggi bagi seluruh negara.
"Ia menolak sebahagian tanggapan bahawa ada peminggiran seperti yang ditohmah selama ini. Apabila kita beri angka ini, tidak dihadam dan naratif lama diteruskan. Ini saya tunjuk (angka sebagai bukti) dalam Kerajaan Madani bukan (mereka) dipinggirkan, malah ditambah peruntukan berdasarkan keperluan.
"Saya sebut di dewan ini berulang kali mengenai RTB umpamanya, untuk keseluruhan negara RM25.08 bilion (diperuntukkan) dan tertumpu banyaknya di Kelantan, Pahang, Terengganu yang menelan kos RM8.8 bilion," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada benarkah perancangan projek pembangunan infrastruktur oleh kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, peruntukan pembangunan diterima negeri turut menyaksikan peningkatan signifikan iaitu bagi tahun perbandingan 2022 hingga 2025 termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
"Umpamanya Sabah, kalau kita lihat 2022 ketimbang 2025, untuk perbelanjaan pembangunan itu peningkatan agak mendadak. Dari RM5.2 bilion naik RM6.7 bilion. Sarawak dari RM4.7 bilion pada 2022 naik kepada RM5.9 bilion.
"Terengganu daripada RM1.4 bilion naik RM1.8 bilion. Kelantan RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion. Kedah, daripada RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion dan Perlis, daripada RM0.4 bilion kepada RM0.6 bilion," jelas beliau.
Malahan, Menteri Kewangan itu memberitahu, Sabah dan Sarawak turut menerima manfaat pembangunan lebuh rayanya dengan nilai peruntukan yang tinggi, seperti Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, dengan kosnya RM15.9 bilion sementara untuk Sabah Sarawak Link Road, hampir RM10 bilion.
"ECRL yang melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian Selangor, itu jumlah keseluruhannya RM74.96 bilion. Ini tak termasuk Central Spine Road di Pahang, Terengganu dan Kelantan, di mana kosnya RM6.38 bilion.
"Ini bukan soal pilih atau tidak, tapi keperluan. Bekalan air melalui pinjaman di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), RM1 bilion untuk Kedah, RM1 bilion untuk Kelantan. Ini termasuk skim pemindahan air Jeniang di Kedah dengan kos RM922 juta," ujarnya.
Beliau berkata, di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pula, bagi Hub Lojistik di Sidam, Kedah kosnya ialah RM700 juta manakala RM723 juta untuk kemudahan infrastruktur pembangunan Lembah Chuping, Perlis.
"Angka-angka ini ada dalam buku Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan RMK13. Saya turun ke negeri untuk mendengar, atas permintaan Menteri Besar mereka cadangkan beberapa keutamaan di mana itu mungkin berbeza dengan keutamaan persekutuan dan Kementerian Kewangan.
"Tapi saya ubah suai untuk bagi jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih, kita akan terima dan ini saya akan umum dalam Belanjawan 2026," katanya.
ENDS