KEMAMAN – Dilahirkan dalam keluarga sederhana di Kampung Sungai Buaya, Dungun, seorang anak jati Terengganu membuktikan bahawa latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam dunia kejuruteraan tenaga.
Berkat kesungguhan dan tekad untuk mengubah nasib keluarga, Norhusna Omar, 39, antara segelintir wanita yang berjaya menyandang jawatan Pengurus Operasi Lapangan atau Field Operation Manager (FOM) di pelantar Angsi milik PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), Aset Semenanjung Malaysia.
Ibu kepada dua anak ini berjaya menempatkan diri dalam sektor yang lazimnya didominasi lelaki menerusi usaha gigih serta komitmen tinggi sejak awal pembabitannya dalam bidang kejuruteraan.
"Apabila kita dipilih untuk sesuatu tugasan, ia bermaksud pihak pengurusan telah menilai bahawa kita mampu melaksanakan apa jua skop yang diberi," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks PETRONAS Pantai Timur di sini.
Menurut Norhusna, penyertaannya dalam bidang itu tidak pernah dianggap asing, malah memberi peluang untuk dirinya berkembang dan mempelajari pelbagai perkara baharu.
"Sebenarnya berada dalam ruang kerja yang dikelilingi lelaki ini bukanlah satu perkara yang sukar kerana perbezaan jantina tidak menjadi tembok penghalang untuk saya membawa hala tuju sesuatu organisasi.
"Daripada situ saya belajar banyak perkara termasuk cara untuk berkomunikasi dengan mereka yang lebih berpengalaman dan ia sekali gus dapat membentuk keyakinan diri untuk menerajui bahagian yang kebanyakannya dipelopori oleh golongan lelaki," katanya yang kini tinggal di Kampung Seberang Pintasan, Dungun.
Beliau yang merupakan graduan Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dengan kepujian kelas pertama dan penerima biasiswa penuh PETRONAS, mula membina kerjaya sebagai jurutera lapangan di Sabah selama lima tahun sebelum kembali ke Semenanjung Malaysia.
Ketika di Angsi, beliau antara kakitangan yang menyumbang dalam pelaksanaan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan turbin angin di lokasi luar pesisir.
"Paling saya tidak dapat lupa pengalaman ketika mengetuai kerja penyelenggaraan loji (plant turnaround) dalam keadaan sarat mengandung dan saya terpaksa pinjam baju saiz besar daripada rakan.
“Bagi saya ia antara detik paling mencabar dalam kerjaya kerana saya masih bekerja seperti biasa dan memerlukan stamina yang lebih tinggi.
"Pada waktu itu, saya ingat pesanan rakan senior untuk perlu sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
“Kata-kata mereka bukan mematahkan semangat saya, sebaliknya memberi saya kekuatan. Ia mengingatkan saya bahawa walaupun sedang hamil, saya masih boleh memberikan yang terbaik dan tidak perlu menganggap diri saya lemah atau terbatas.
"Kehamilan bukan penghalang. Malah ia membentuk perspektif baharu tentang ketabahan dan kemampuan diri," ujarnya.
Tekad untuk mencuba
Menceritakan permulaan kerjayanya, Norhusna berkata, peluang itu hadir selepas beliau membaca satu iklan permohonan biasiswa dalam akhbar.
"Saya selalu membaca surat khabar dan kebetulan melihat iklan permohonan biasiswa PETRONAS untuk belajar di UTP. Saya tidak melepaskan peluang dan segera memohon.
“Ketika proses temuduga, kemahiran berbahasa Inggeris adalah satu kelebihan dan saya tidaklah begitu mahir berbahasa Inggeris. Tetapi saya nekad untuk memberikan yang terbaik dan rezeki memihak kepada diri saya.
"Saya anggap ia sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan. Walaupun pada masa itu, saya ada pilihan sambung pengajian di tempat lain, saya rasa tidak boleh lepaskan peluang ke UTP.
“Meskipun pada saat itu, saya belum tahu apa sebenarnya kerjaya sebagai seorang jurutera, saya nekad untuk mencuba," ujarnya.
Menurutnya, PETRONAS menyediakan ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh, daripada latihan teknikal, kepimpinan, sehingga bimbingan secara berstruktur.
“Bagi saya, PETRONAS bukan sekadar tempat bekerja, ia platform untuk membina masa depan yang anda impikan. PETRONAS menyediakan pelbagai program pembangunan termasuk latihan dalam kelas, pengukuhan teknikal kerja serta bimbingan kepimpinan,” katanya yang pernah disenarai pendek bagi menjalani latihan industri di Jerman.
Norhusna memulakan peranannya sebagai Pembantu Eksekutif pada tahun 2019 selepas dilantik oleh Hasliza Othman, yang ketika itu merupakan Pengurus Besar Kanan Aset Semenanjung Malaysia, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB).
Dalam posisi ini, Norhusna mula didedahkan kepada dunia pengurusan aset dan operasi harian syarikat.
Apabila Hasliza menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PCSB, Norhusna sekali lagi diberi kepercayaan untuk terus berkhidmat sebagai Pembantu Eksekutif di peringkat tertinggi pengurusan.
Berada rapat dengan kepimpinan tertinggi memberi Norhusna pendedahan meluas terhadap aspek-aspek strategik syarikat.
Beliau menyifatkan tempoh ini sebagai antara pengalaman paling berharga dalam kerjayanya di PETRONAS bukan sahaja dari sudut tugas, malah dari segi pembelajaran dan pertumbuhan peribadi.
Norhusna, yang kini bertugas di Unit Penambahbaikan Prestasi Aset, memainkan peranan penting dalam menilai operasi dan merangka strategi jangka panjang, termasuk penggunaan teknologi digital dan inovasi terkini.
Selain itu, beliau juga aktif dalam program komuniti melalui Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan & Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA) Kertih, termasuk membantu pelajar dan menganjurkan pelbagai aktiviti sosial.
Sebagai Setiausaha PETRONITA Kertih, beliau percaya kejayaan yang dicapai hari ini bukan semata-mata untuk dirinya sendiri.
"Bagi saya, apa yang saya capai hari ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi cerminan kepada potensi besar anak-anak Terengganu apabila diberi peluang dan sokongan," katanya.
Anak kedua daripada empat beradik mengakui dorongan untuk terus berjaya datang daripada keinginan untuk melihat keluarganya hidup lebih baik.
“Sebenarnya potensi bakat luar bandar sangat besar, namun memerlukan inisiatif individu untuk mengembangkannya. Bagi saya, transformasi sosioekonomi keluarga menjadi pendorong utama.
Norhusna menitipkan nasihat kepada pelajar, khususnya golongan wanita, agar mencari dorongan dalaman yang kuat sebagai motivasi untuk terus belajar dan berusaha.
“Motivasi saya ialah mengubah nasib keluarga walaupun saya datang dari sekolah biasa. Kita tetap boleh berjaya dan bawa nama PETRONAS," katanya.