Lelaki didakwa sembilan kali amang seksual dua kanak-kanak

Iklan
Muhammad Aiman (tengah) berdepan sembilan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang mengajar mengaji di sebuah surau di Bachok dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan yang berusia enam tahun di Bachok.

Tertuduh, Muhammad Aiman Ahmad Shakir, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang berusia enam tahun lima bulan di surau berkenaan antara jam 5.30 hingga 6 petang pada 2 dan 17 Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi anak muridnya yang berusia enam tahun empat bulan di lokasi sama pada jam 6 hingga 6.30 petang, 13 Ogos lalu.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta tersebut kerana wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala di bawah Seksyen 16(1) pula, tambahan hukuman penjara sehingga lima tahun dan minimum dua sebatan boleh dikenakan.

Iklan

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan jamin terhadap tertuduh dan memohon satu jumlah yang tinggi sekiranya mahkamah membenarkannya.

Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar bagaimanapun mengemukakan rayuan supaya anak guamnya dibenarkan jamin kerana lelaki itu sudah berhenti daripada mengajar al-Quran di surau berkenaan.

“Tertuduh daripada keluarga ibu bapa bercerai dan tinggal lima beradik bersama bapa sekian lama.

“Tertuduh berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia dan tempat tinggalnya pula jauh di Kok Lanas,” katanya.

Dalam prosiding itu, Zulkifli menegaskan mahkamah memandang serius kes berkenaan dan mengambil berat tentang keadaan mangsa.

“Ini kes serius, bukan biasa-biasa, mahkamah bukan sahaja ambil kira hak tertuduh, tetapi juga mempertimbangkan keadaan kedua-dua mangsa,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM24,000 dengan seorang penjamin tempatan bersyarat pasport diserahkan kepada pihak berkuasa dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula 8 Oktober ini.