Peniaga maut dirempuh Myvi ketika dalam perjalanan ambil anak OKU dari sekolah

Iklan
Isteri arwah ditenangkan kenalan dan ahli keluarga di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka pada Selasa.

MELAKA - Penunggang motosikal yang maut dirempuh sebuah Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru di sini pada Selasa sedang dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pulang dari sekolah.

Adik ipar mangsa, Abdul Rashid Abdul Hamid, 37 berkata, dia mengetahui kejadian itu sekitar jam 2 petang selepas dimaklumkan oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan ketika dalam perjalanan ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menjadi rutin harian arwah, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, menguruskan anak-anak ke sekolah pada waktu siang dan berniaga kedai makan pada waktu malam.

“Masa kejadian, dia dalam perjalanan untuk mengambil anak Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Malim.

Iklan

“Kebetulan orang kampung lalu hendak ke hospital, cam muka arwah. Bila disahkan, barulah saya percaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini pada Selasa.

Abdul Rashid

Iklan

Abdul Rashid berkata, bapa kepada empat anak berusia antara 10 hingga 17 tahun itu kali terakhir ditemui pada malam sebelum kejadian ketika mereka berniaga bersama.

“Saya buat roti, dia pula uruskan kedai. Kali terakhir jumpa, arwah nampak biasa sahaja, tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Kejadian berlaku secara mengejut dan ketika dimaklumkan, saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak memberitahu perkara ini kepada kakak,” katanya.

Katanya, arwah berasal dari Batu Berendam, Melaka sebelum berpindah ke Duyong selepas berkahwin dengan kakaknya, Siti Hasmah Abdul Hamid yang bertugas di agensi kastam.

Ujarnya, mereka sekeluarga akan bersama-sama mengambil tanggungjawab menguruskan anak-anak saudara itu susulan kematian mengejut arwah.

Anak arwah membaca yassin sementara menunggu proses menuntut jenazah di Hospital Melaka pada Selasa.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang maut manakala empat lagi cedera selepas sebuah Perodua Myvi terbabas di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu sebelum merempuh lima kenderaan lain di laluan bertentangan.

Video kejadian tersebut tular di media sosial menerusi rakaman papan pemuka berdurasi 41 saat yang memaparkan Perodua Myvi dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum merempuh kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Kemalangan itu melibatkan enam kenderaan iaitu tiga buah motosikal jenis Honda EX5, Suzuki Raider R150 dan Yamaha Y15ZR serta tiga buah kereta iaitu Proton Saga, BMW X3 dan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi terbabit yang dipercayai mengalami keadaan ‘microsleep’ (terlelap sejenak) telah memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan berkenaan.