Ahli GISBH luah hilang kerja, terpaksa usaha sendiri sara keluarga

Iklan
Rahmad (tiga dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan set persekolahan kepada salah seorang ahli GISBH ketika Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama YB Exco di sebuah hotel di Ayer Keroh pada malam Rabu.

MELAKA - Ahli kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) berdepan pelbagai kesulitan hidup termasuk kehilangan pekerjaan sehingga memaksa mereka berusaha sendiri menyara keluarga dengan pendapatan yang tidak menentu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, itu antara rintangan terbesar yang diluahkan oleh ahli kumpulan berkenaan ketika sesi pertemuan bersama pihaknya termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini mereka memberikan kerjasama yang baik malah turut meminta bantuan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu pengangkutan anak-anak pelajar tahfiz yang mengalami kerosakan.

Rahmad

Iklan

“Dulu mereka ada pekerjaan, sekarang mereka terpaksa berusaha sendiri kerana tempat mereka bekerja itu sudah tiada.

“Sebab itulah kita mahu membantu sebaik-baiknya agar mereka bukan sahaja keluar daripada masalah akidah, tetapi juga masalah kehidupan dan boleh hidup normal seperti orang lain,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama YB Exco di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini pada malam Rabu.

Hadir sama, Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi medan pertemuan semula, malah platform penting untuk mengumpul data tepat mengenai ahli GISBH termasuk jumlah keseluruhan ahli, latar belakang keluarga, taraf perkahwinan dan status pendidikan anak-anak.

Ujarnya, setakat ini maklumat awal yang diperoleh mendapati anak-anak mereka masih mendapat pendidikan seperti biasa, dan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), bantuan awal seperti 100 set peralatan sekolah akan disalurkan.

Menurut Rahmad, selain itu pihaknya turut menyediakan kaunter rujukan dan informasi melibatkan permohonan biasiswa, bantuan persekolahan serta sokongan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya layak.

“Mereka merupakan rakyat negara ini, jadi mereka juga berhak menikmati kemudahan pendidikan dan bantuan sama seperti masyarakat lain.

“Kita mahu memastikan anak-anak mereka tidak tercicir dalam pelajaran meskipun keluarga sedang berdepan kesukaran,” katanya lagi.

Tambahnya, selain bantuan kebajikan, kerajaan negeri juga memberi tumpuan utama bagi melaksanakan program pemulihan akidah dinamakan ‘Rehab’ bermula bulan depan.

Ujar Rahmad, melalui program ini pihaknya berharap mereka bukan sahaja dapat kembali mengukuhkan pegangan agama, tetapi juga menyesuaikan diri dengan kehidupan normal seperti masyarakat lain.

“Difahamkan jumlah mereka sekitar 300 orang di Melaka, namun yang hadir pada malam ini kira-kira 273 orang.

“Kesungguhan mereka sangat jelas, hadir dengan penuh kerjasama malah mereka sendiri mahukan program ini,” katanya.