Bernama sokong Malaysia #QuranHour

Iklan
Bernama menyatakan komitmen untuk terus memainkan peranan penting dalam menjayakan Malaysia #QuranHour 2025.

SHAH ALAM – Bernama menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan penting dalam menjayakan Malaysia #QuranHour 2025, sebuah program tahunan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata, sebagai agensi berita nasional, Bernama sentiasa memberi kerjasama penuh dalam memastikan mesej Malaysia #QuranHour yang membawa tema penyatuan umat melalui al-Quran dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih luas bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, Bernama menyokong dan memberi kerjasama kepada penganjuran Malaysia #QuranHour.

“Sebagai rakan strategik media, kami membantu memastikan mesej yang dibawa program ini dapat sampai kepada khalayak meluas melalui pelbagai platform berita dan siaran kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Malaysia #QuranHour tahun ini akan berlangsung pada 30 Ogos dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Sebagai penyiar utama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan program itu secara langsung bersama sinergi media lain seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.

Iklan

Malaysia #QuranHour 2025 bakal mengetengahkan misi #ResetRasa selari tema besar iaitu ‘Merdeka Dengan Rasa’ berpandukan tiga surah utama seperti surah al-Saff, surah al-Balad dan surah Ali’ Imran.

Tambah Nur-ul Afida, Bernama mempunyai kekuatan rangkaian media merangkumi teks berita, foto, video, televisyen, radio dan portal digital bagi menyalurkan liputan secara menyeluruh mengenai program ini yang turut menjadi sebahagian daripada acara sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau menambah, liputan Bernama tidak terhad kepada bahasa Melayu sahaja malah turut diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab agar mesej Malaysia #QuranHour dapat diakses lebih mudah oleh khalayak antarabangsa.

“Laporan mengenai program ini juga akan disiarkan melalui Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama yang boleh dicapai menerusi rang-kaian kerjasama kami dengan agensi berita antarabangsa. Ini membolehkan mesej al-Quran melalui Malaysia #QuranHour menjangkau masyarakat global,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan Bernama juga memberi tumpuan kepada penyampaian mesej melalui platform media sosial termasuk penerbitan video pendek, infografik dan laporan langsung.

Ujarnya, langkah ini penting agar nilai-nilai perpaduan yang diketengahkan al-Quran dapat dicerna oleh generasi muda yang cenderung kepada kandungan ringkas dan interaktif selain memperluas capaian kepada komuniti antarabangsa yang aktif di dunia digital.

Nur-ul Afida menegaskan nilai sejagat yang terkandung dalam al-Quran khususnya tentang perpaduan, kasih sayang dan saling menghormati sesama manusia adalah mesej penting yang ingin diperluas melalui penganjuran Malaysia #QuranHour 2025.

“Bernama yakin mesej yang dibawa Malaysia #QuranHour akan terus memberi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada masyarakat dunia.

”Program ini adalah wadah penting untuk menyatukan umat dan memperkukuh identiti negara berasaskan nilai sejagat al-Quran,” jelas beliau.