Kerjaya berisiko: Nasib operator kren

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis berhubung nasib pengendali kren.

PENCAKAR langit yang terbina megah di ibu kota sering dilihat sebagai simbol kemajuan negara, namun di sebaliknya tersembunyi kisah getir operator kren yang berjuang di sebalik tabir dengan bayaran didakwa tidak sepadan dengan risiko.

Kerjaya berkenaan memerlukan fokus, ketahanan mental dan kemahiran tinggi kerana sekecil kesilapan boleh mengundang tragedi, bukan sahaja kepada mereka malah juga pekerja lain di tapak binaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, gaji bulanan yang diterima jauh lebih rendah berbanding risiko. Ada operator mendakwa hanya sekitar RM3,200 hingga RM4,500 meskipun bekerja berjam-jam di ruang sempit pada ketinggian ratusan meter.

Lebih membebankan, sistem subkontrak berlapis menjadikan hak pekerja sering terabai. Ada yang mendakwa mereka diperah oleh pihak ketiga tanpa perlindungan sewajarnya.

Iklan

Kesedaran masyarakat juga masih rendah, walhal tanpa operator kren, projek mega negara seperti Menara Merdeka 118 tidak mungkin berdiri megah.

Dari sudut ekonomi, industri pembinaan menyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), namun pekerja kritikal seperti operator kren masih terperangkap dengan pendapatan rendah dan tekanan kerja berpanjangan.

Iklan

Kerjaya operator kren berisiko tidak diminati generasi muda tempatan kerana pulangannya tidak berbaloi.

Isu keselamatan turut membimbangkan susulan ada laporan insiden kren tumbang yang membabitkan pekerja akibat kekangan pemeriksaan peralatan atau latihan tidak mencukupi.

Sehubungan itu, pihak berkuasa seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) disarankan agar lebih proaktif dalam pemantauan berkala, bukan hanya bertindak selepas kemalangan berlaku. Ini termasuk memperketatkan pelaksanaan pemeriksaan rutin serta mewajibkan kursus keselamatan yang lebih komprehensif.

Cadangan menetapkan gaji minimum khusus untuk pekerjaan berisiko tinggi juga wajar dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan operator lebih terjamin.

Selain itu, reformasi terhadap sistem subkontrak dalam pembinaan penting supaya keuntungan syarikat utama tidak dibayar dengan ‘harga nyawa’ pekerja bawahan.

Operator kren bukan sekadar pekerja tapak binaan, sebaliknya mereka adalah insan yang memastikan menara gah menjulang dan pembangunan negara berjalan.